My Add

Thursday 12 July 2012

Perlu bijak nilai bahan ajaran sesat dalam dunia sibe

KOTA KINABALU, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Orang ramai perlu menggunakan kebijaksanaan bagi menilai bahan yang dipamerkan di laman web bagi mengelak terpengaruh dengan kumpulan yang cuba menyebar ajaran sesat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Beliau berkata, kebijaksanaan itu penting kerana kegiatan seumpama itu dalam dunia siber sukar untuk diawasi.

"Era langit terbuka membolehkan sesiapa sahaja untuk bertindak di dalam laman web, termasuk kegiatan segelintir kumpulan yang cuba menyebar ajaran sesat menerusi kaedah terbabit. 

"Oleh itu, ia memerlukan orang ramai untuk menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk menilai sebaiknya apa yang cuba disampaikan di laman web tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia peringkat negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, dekat sini hari ini. 

Jamil Khir berkata, kerajaan memandang serius perkara itu dan mengambil pelbagai langkah bagi memantau laman web yang cuba menyebar ajaran sesat. 
Beliau berkata satu jawatankuasa di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diamanahkan untuk menangani masalah ajaran sesat di peringkat nasional dan negeri. 

Jawatankuasa itu turut dibantu oleh agensi kerajaan lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Imigresen, majlis agama negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment