My Add

Monday 2 July 2012

Permohonan TR1Ma mulai hari ini

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 Julai, 2012: Pemandu teksi boleh membuat permohonan subsidi tayar di bawah program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) mulai hari ini. 

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dalam satu kenyataan, menyatakan pemandu teksi yang layak menerima bantuan TR1Ma ialah warganegara Malaysia yang berstatus pemandu pertama.Permohonan mesti disertakan dengan salinan Kad Pemandu yang sah, MyKad serta lesen memandu dan borang permohonan boleh didapati di pejabat wilayah SPAD atau dimuat turun melalui laman web SPAD di www.spad.gov.my/tr1ma. 

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pemberian baucar subsidi tayar sebanyak RM520 bagi penggantian empat tayar untuk tempoh dua tahun. 

Menurut SPAD, pemohon boleh menghadirkan diri ke mana-mana pejabatnya atau pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terpilih untuk menghantar borang permohonan itu. 

Bagi Lembah Klang, pemohon boleh hadir ke pejabat JPJ di Wangsa Maju, Padang Jawa, Sabak Bernam, Banting dan Bandar Sri Permaisuri. 

Pejabat utama JPJ lain ialah di Alor Setar di Kedah, Johor Baharu dan Segamat (Johor), Kangar (Perlis), Seberang Perai (Pulau Pinang), Ipoh dan Taiping (Perak), Seremban (Negeri Sembilan), Kota Baharu dan Gua Musang (Kelantan), Melaka Tengah (Melaka) serta Kuantan, Temerloh dan Raub (Pahang). 
Permohonan melalui pos termasuk dari Sabah dan Sarawak hanya boleh dialamatkan ke pejabat SPAD di Putrajaya. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi SPAD di talian 1800-88-9600. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment