My Add

Monday 2 July 2012

Warga Mesir ditahan ekoran kecurian RM1.17 juta

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 Julai, 2012: Polis menahan seorang lelaki warga Mesir hari ini bagi membantu siasatan kes kecurian wang tunai berjumlah RM1.17 juta dari empat mesin juruwang automatik (ATM) di aras 1 pasar raya Carrefour, Wangsa Maju di sini, semalam. 

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata warga Mesir yang berumur 31 tahun itu ditahan pada jam 10 pagi tadi di tempat kerjanya di salah sebuah kedai di pasar raya tersebut. 

"Pemeriksaan forensik polis hari ini mendapati kumpulan yang melarikan wang ATM itu terdiri daripada enam orang, dan dipercayai kumpulan warga asing yang ada kepakaran membuka mesin ATM," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata, siasatan awal polis, jenayah itu dirancang lebih awal kerana kumpulan itu memasuki pintu belakang pasar raya yang diperbuat daripada papan lapis serta tiada pengawal keselamatan menjaganya. 

Berdasarkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV), kejadian pada jam 3.06 pagi itu dilakukan sekumpulan penjenayah yang memakai topeng muka dan menggunakan alat pencair besi (oxy-gas) bagi menebuk keempat-empat mesin ATM itu. 

Khairi berkata, penjenayah itu meninggalkan sarung tangan dan beberapa bahan bukti lain di tempat kejadian. 

Sementara itu jurucakap pasar raya Carrefour berkata, pihaknya akan meningkatkan kehadiran pengawal keselamatan di mesin ATM selepas waktu operasi pasar raya itu ditutup, termasuk mempertimbangkan menempatkan lebih ramai pengawal keselamatan di kawasan berdekatan mesin ATM.

Carrefour dan pihak bank juga kini sedang bekerjasama membuat penelitian dan mengkaji langkah terbaik bagi mencegah perkara tersebut daripada berulang, katanya. 

Sehingga kini, tujuh kes rompakan mesin ATM dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang membabitkan jumlah kerugian keseluruhan hampir RM1.8 juta. 

Pada 22 Jun lalu, sekumpulan lelaki tempatan dikenali geng Oxy-gas menggunakan alat pencair besi mencuri mesin ATM bernilai RM80,000 dilarikan di pasar raya Giant, Taman Permata. 

Sementara itu, penganalisis jenayah mempersoalkan bagaimana penjenayah dapat melumpuhkan sistem penggera mesin ATM dalam beberapa kes rompakan tersebut memandangkan maklumat sistem penggera keselamatan bagi setiap mesin ATM adalah sulit. 

Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim, berkata hanya pemasang sistem berkenaan saja yang mengetahui cara untuk mematikan sistem berkenaan. 

Untuk itu, pemilik premis perlu berhati-hati dan sentiasa memeriksa rekod syarikat yang terlibat dengan pemasangan sistem termasuk memeriksa rekod syarikat kawalan keselamatan, katanya dihubungi Bernama, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, bagi premis yang tidak menggunakan sistem kunci, pemilik premis harus memastikan penyelia pengawal keselamatan sentiasa melakukan rondaan dengan terperinci dan ia antara faktor yang dapat membantu mesin ATM di premis tersebut selamat. 

Kamal Affendi berkata, kes samun mesin ATM jarang berlaku di Malaysia, namun akhir-akhir ini ia semakin menjadi-jadi terutama bagi mesin ATM yang tersorok serta kaedah sistem panggera yang mudah dimatikan walaupun terdapat pantauan melalui CCTV. 

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata syarikat perbankan disaran menempatkan pengawal keselamatan bersenjata api bagi mengelakkan mesin ATM syarikat mereka dirompak terutamanya selepas waktu pasar raya beroperasi. 

Beliau berkata, langkah itu wajar dipraktikkan bukan saja melindungi keselamatan ATM mereka tetapi turut melindungi keselamatan pengguna ATM yang turut terdedah dengan ancaman rompakan selepas mengeluarkan wang dari mesin ATM. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment