My Add

Monday 23 July 2012

Pilihan Raya Umum Ke-13 dijangka tahun depan - Aziz Tapa

JASIN, AHAD, 22 Julai, 2012: Tokoh politik veteran Tan Sri Abdul Aziz Tapa (gambar) menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada tahun depan, bukannya dalam tempoh terdekat ini.

"Pilihan raya kali ini tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat atau tahun ini sebaliknya ia lebih elok diadakan pada tahun depan," katanya di sini hari ini.

Abdul Aziz, 89, yang merupakan veteran UMNO menjelaskan, jangka masa tersebut dapat dimanfaatkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan masalah rakyat dan meningkatkan hubungan antara pemimpin parti itu dengan rakyat.

Beliau berkata, wakil rakyat perlu lebih rajin 'turun padang' bertemu rakyat dalam usaha mendekati dan menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul.

Baginya gandingan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap BN.

Malah, Abdul Aziz yang juga penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 1986 itu mengabadikan gandingan kedua-dua pemimpin tersebut di dalam sebuah pantun:

Encik Majid dengan Encik Bidin,

Pergi ke Linggi naik rakit,

Gandingan Najib dengan Muhyiddin,

Macam perigi di bawah bukit.

Abdul Aziz berkata, dasar serta bantuan yang dirancang oleh kedua pemimpin tertinggi negara itu berjaya menyelesaikan pelbagai kemelut dihadapi rakyat terutama melibatkan kos sara hidup.

Sebagai contoh pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Baucer Buku 1Malaysia banyak memberi manfaat kepada rakyat walaupun segelintir pihak melihatnya sebagai pembaziran atau mempunyai agenda tertentu, katanya. - bernama

"Belanja itu dia (Perdana Menteri) beri ikut keperluan rakyat contohnya Kedai Rakyat 1Malaysia nak senangkan rakyat," kata bekas Bendahari Badan Perhubungan UMNO Melaka itu.

Beliau juga yakin BN akan memperoleh majoriti dua pertiga pada PRU-13 dengan syarat wakil rakyat yang ada harus mengikut jejak langkah Perdana Menteri dan timbalannya sering bertemu rakyat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment