My Add

Wednesday 11 July 2012

PM hadiri jamuan rakyat di Terengganu Jumaat ini

KUALA TERENGGANU, RABU, 11 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Razak akan menghadiri majlis jamuan rakyat yang disertai antara 8,000 hingga 10,000 orang di padang orang ramai Kampung Bukit Payong, Marang, sempena lawatan kerja sehari beliau ke Terengganu Jumaat ini. 

"Kerajaan negeri akan memberikan sambutan meriah kepada Perdana Menteri sempena lawatan tersebut," kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah. 
Ahmad berkata, Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 20,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dari seluruh Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini. 

Ahmad berkata, Najib dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada jam 9 pagi hari berkenaan dan menaiki helikopter ke Dungun untuk mengadakan perjumpaan dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masyarakat Dungun di Arena Square. 

Selepas itu, Najib akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Payong di Marang sebelum menghadiri jamuan rakyat di padang orang ramai Bukit Payong. 

Ahmad berkata, Perdana Menteri dijangka bertolak balik ke Kuala Lumpur kira-kira jam 5 petang. 
Beliau berkata, Perdana Menteri dijadual datang semula ke Terengganu pada Ogos depan untuk menghadiri majlis berbuka puasa anjuran kerajaan negeri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment