My Add

Wednesday 11 July 2012

Petisyen ketepikan keputusan bebaskan Anwar

Oleh AMIRUDDIN HARUN
KUALA LUMPUR, RABU, 11 Julai, 2012: - Pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan kelmarin bertujuan memohon Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan sekali gus bagi mensabitkan Ketua Pembangkang itu dengan tuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Petisyen tersebut yang ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badarudin menyenaraikan sembilan alasan yang mendakwa Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta semasa membuat keputusan membebaskan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu di akhir kes pembelaan.

Antara alasan tersebut ialah hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah terkhilaf apabila menyatakan terdapat keraguan ke atas integriti sampel-sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada Mohd. Saiful Bukhari memandangkan beliau telah membuat penemuan di akhir kes pendakwaan bahawa profil DNA `Lelaki Y' adalah berpadanan dengan DNA Anwar.

Hakim tersebut juga di akhir kes pendakwaan menyatakan tidak ada jalan untuk pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira menggunakan sampel-sampel DNA yang diperoleh dari lokap yang dihuni dan digunakan Anwar untuk mengusik (tamper) sampel-sampel DNA yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari.

“Selain itu), Yang Arif Hakim telah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa dari manakah pegawai penyiasat mendapat sampel air mani yang berpadanan dengan profil DNA yang diperoleh daripada sampel-sampel barang-barang yang digunakan oleh responden (Anwar) yang diambil dari lokap tersebut," menurut petisyen berkenaan.

Begitu juga, Hakim Mohamad Zabidin didakwa telah terkhilaf apabila mendapati terdapat keraguan terhadap integriti sampel-sampel DNA yang diperoleh daripada Mohd. Saiful Bukhari sedangkan hakim tersebut telah pun memanggil Anwar membela diri di akhir kes pendakwaan.

Justeru, hakim tersebut didakwa telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan berdasarkan keterangan yang dikemukakan.

Petisyen tersebut difailkan setelah Mahkamah Tinggi mengeluarkan alasan penghakiman penuh pada 2 Julai lalu iaitu enam bulan selepas keputusannya membebaskan Anwar, 64, daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment