My Add

Thursday 5 July 2012

Presiden Republik Czech terima kunjungan hormat Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech, Vaclav Klaus, serta isteri Livia Klausova, di hotel penginapan beliau di sini. 

Najib yang tiba bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, pada 10.30 pagi, meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu Klaus dan isteri. Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, selaku menteri pengiring.

Rosmah dan Klausova pula mengadakan pertemuan berasingan di hotel berkenaan. 

Selesai pertemuan itu, Klaus dan rombangan bertolak ke The Ritz-Carlton di Jalan Imbi untuk menghadiri perbincangan meja bulat anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI). 

Klaus tiba di sini semalam untuk lawatan negara selama lima hari ke Malaysia. 

Ini adalah lawatan negara kali pertama Klaus sebagai Presiden Republik Czech bagi memenuhi jemputan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Terdahulu, Klaus dan isteri turut menerima kunjungan hormat daripada Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di hotel itu selepas upacara sambutan negara di Dataran Parlimen di sebelah pagi. 

Seri Paduka berdua meluangkan masa bersama Klaus dan isteri pada majlis santapan ringan selama setengah jam di hotel berkenaan. 

Malam ini Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah akan meraikan Presiden Republik Czech itu pada majlis santapan negara di Istana Negara, Jalan Duta.

Sementara itu BERNAMA melaporkan isteri Presiden, Livia Klausova hari ini melawat Pusat Permatapintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.

Ketibaan beliau dan delegasi disambut oleh Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, pegawai-pegawai serta pelajar pusat itu. Dalam kunjungan kira-kira sejam, Klausova dan delegasi diberi penerangan ringkas tentang pusat tersebut oleh Pengarahnya Prof Dr Noriah Mohd Ishak.

Mereka kemudian dibawa melawat ke sekitar kompleks itu, yang menempatkan semua program Permatapintar Negara, sebelum dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar pusat berkenaan.

Klausova turut menghadiahkan bag-pipe, alat muzik tradisional Czech, kepada pusat itu, yang beliau harapkan menjadi simbol hubungan erat antara dua negara.

Presiden Republik Czech, Vaclav Klaus serta isterinya tiba di sini semalam untuk lawatan negara selama lima hari ke Malaysia.

Ini lawatan negara kali pertama Klaus sebagai Presiden Republik Czech bagi memenuhi jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Program Permatapintar Negara yang bermula sejak 2009 dengan penganjuran Kem Cuti Sekolah dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

No comments:

Post a Comment