My Add

Friday 20 July 2012

Program panda: Pembangkang hanya tahu bangkang

ALOR SETAR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, menyifatkan tindakan pembangkang mempertikai program beruang panda adalah satu kenyataan tanpa kajian. 

Katanya, program itu bukan suatu pembaziran sebaliknya mampu memberi pulangan besar menerusi kutipan bayaran kepada pengunjung yang datang untuk melihat haiwan berkenaan. 

"Perkara itu dapat dilihat di Thailand yang menjana pendapatan daripada program serupa apabila orang ramai berpusu-pusu ke zoo untuk melihat haiwan tersebut dari dekat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

Koh yang juga Presiden Parti Gerakan berkata, pembangkang hanya tahu mengeluarkan kenyataan negatif terhadap usaha kerajaan Barisan Nasional tanpa memikirkan pulangan yang bakal diterima negara. 

"Kalau pembangkang tidak setuju kerana kos mahal dan membazir, mereka perlu bercakap sendiri kepada kerajaan China untuk tolak panda itu," katanya yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Kedah. 

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan pembangkang yang mendakwa program beruang panda antara Malaysia dan China itu satu pembaziran kerana membabitkan kos yang tinggi. 

Program bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China yang dimeterai 15 Jun lalu, bakal menyaksikan sepasang beruang panda dipinjamkan kepada Malaysia selama 10 tahun dan akan ditempatkan di Taman Wetland, Putrajaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment