My Add

Friday 20 July 2012

Pengeluaran KWSP: CUEPACS mahu pekerja diberi pilihan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan agar pekerja diberi pilihan untuk mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada umur 55 atau 60 tahun. 

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata cadangan itu susulan maklum balas daripada kumpulan pelaksana yang tidak bersetuju pengeluaran caruman KWSP hanya pada umur 60 tahun. 

"Kita perlu melihat tiga kategori pekerja iaitu berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Biasanya pekerja berpendapatan sederhana dan rendah amat memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang dan pinjaman sebelum bersara. 

"Ada yang menggunakan wang persaraan untuk pendidikan anak-anak," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Sehubungan itu, katanya, isu tersebut mesti diteliti terlebih dahulu sebelum dilaksana. 

Isu pengeluaran KWSP pada usia 60 tahun itu timbul susulan pembentangan Rang Undang-undang Persaraan Minimum 2012 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada bulan lalu yang menetapkan umur persaraan minimum pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun, berkuat kuasa Januari tahun depan. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dilapor berkata kerajaan belum membuat keputusan berhubung had umur pengeluaran caruman KWSP. 
Ketika ini, caruman KWSP boleh dikeluarkan apabila pencarum mencapai usia 55 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment