My Add

Friday 27 July 2012

Projek Langat 2 akan dilaksana secara tender terbuka

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Julai, 2012: Kerajaan persekutuan akan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 secara tender terbuka kepada semua syarikat yang berkelayakan.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataan hari ini, berkata semua anak syarikat kerajaan negeri Selangor dialu-alukan untuk menyertai tender tersebut apabila diiklankan kelak.

Justeru, tuduhan yang mengatakan projek itu dibina antara lain bertujuan memastikan kroni Umno-Barisan Nasional mendapat kontrak pembinaan adalah tidak berasas, kata kenyataan tersebut.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa kerajaan Selangor sebagai pemilik aset air negeri, tidak pernah memajak mana-mana aset air negeri kepada kerajaan persekutuan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Selangor sebagai pemilik aset air negeri mengikut Seksyen 188 Akta Industri perkhidmatan Air 2006, bertanggungjawab memastikan ketersediaan bekalan air terawat di loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tanggungjawab Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai operator pengagihan air di Selangor pula adalah untuk membekalkan dan mengagihkan bekalan air terawat, bukan memastikan ketersediaan bekalannya, kata Kementerian itu.

Syabas diberi kuasa itu mengikut Seksyen 191 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment