My Add

Saturday 14 July 2012

Qari Malaysia, qariah Maghribi johan Tilawah

*JOHAN Qari dari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali (kiri), 36, dan Johan Qariah dari Magribi, Hasnae Khoulali,19, pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Qari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali, 36, dan qariah Maghribi, Hasnae Khoulali, 19, muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 yang berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini. 

Anuar memperoleh markah 95.33 peratus manakala Hasnae mendapat markah 94 peratus. Mereka menerima hadiah wang tunai RM40,000 bersama piala dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Turut berangkat menghadiri majlis, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. 

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri, Puan Seri Norainee Abd Rahman, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. 

Naib johan qari dan qariah pula masing-masing dimenangi Amin Pouya dari Iran dan Rahmawati Bakri Hunawa dari Indonesia dengan markah 91.67 dan 94 peratus. Mereka menerima hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil penyertaan. 

Tempat ketiga dimenangi qari Indonesia, Raden Harmoko Baharudin yang memperoleh markah 90.16 peratus dan qariah Malaysia, Che Aminah Che Awang yang meraih markah 94 peratus. Mereke menerima hadiah wang tunai RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan. 

Majlis Tilawah al-Quran bertemakan "Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah" berlangsung selama lapan malam sejak 6 Julai lalu, disertai 44 qari dan 27 qariah dari 44 negara. - BH

No comments:

Post a Comment