My Add

Sunday 15 July 2012

Ramadan: Bekalan minyak masak, gula mencukupi

BERA, AHAD, 15 Julai, 2012: Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan seperti minyak masak dan gula bagi menyambut bulan puasa tahun ini mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi minyak masak, Lembaga Minyak Sawit Malaysia bersetuju menambah 10 peratus lagi kuota bekalan untuk diedar kepada pemborong dan pembekal.

"Manakala barangan keperluan lain juga akan ditambah berikutan ramai peniaga yang memerlukannya bagi menjalankan perniagaan mereka pada bulan puasa nanti," katanya kepada pemberita selepas menutup Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Mengulas kenaikan harga bawang putih baru-baru ini, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak dapat mengawal semua harga barangan keperluan kerana ia diimport dan harganya bergantung kepada pasaran semasa.

"Kenaikan harga bawang putih baru-baru ini tidak dapat dielakkan kerana negara pengeluar iaitu China kekurangan bahan tersebut disebabkan pelbagai faktor, termasuk bencana alam.

"Namun demikian, kerajaan akan bertindak tegas ke atas peniaga atau pekedai yang menaikkan harga barang secara mendadak, dan mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencatutan yang membawa kepada hukuman denda dan penjara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment