My Add

Sunday 15 July 2012

100 ahli PKR desak Mansor letak jawatan

BUKIT MERTAJAM, AHAD, 15 Julai, 2012: Lebih 100 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Taman Sejahtera di sini mahu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman meletak jawatan kerana gagal menunaikan janji yang dibuat parti itu semasa pilihan raya umum lepas.

Wakil kumpulan berkenaan R.Chandran berkata penduduk di kawasan berkenaan juga kesal dengan pemimpin pembangkang kerana hanya pandai berjanji untuk meraih undi.

"Kami kecewa dan rasa seperti ditipu kerana pelbagai masalah yang dihadapi penduduk seperti limpahan air dari loji najis ketika hujan lebat belum dapat diatasi malah lebih teruk sekarang ini.

"Datuk Mansor yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR negeri juga pernah berjanji untuk membina sebuah dewan serbaguna yang dilengkapi gelanggang sukan, namun sehingga sekarang beliau masih membisu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan secara aman bagi mendesak Mansor meletak jawatan di sini hari ini.

Katanya pihaknya telah menghantar beberapa pucuk surat kepada Mansor bagi meminta penjelasan berhubung janji yang PKR buat semasa pilihan raya lepas, bagaimanapun tiada sebarang balasan atau jawapan.

"Penduduk di sini bukan 100 orang sahaja, tetapi beribu dan janji kami hari ini ialah tidak akan pangkah pakatan rakyat terutama PKR kerana sudah tidak percaya lagi," katanya.

Bekas Naib Ketua PKR cabang Batu Kawan A.Loganathan yang turut hadir, berkata pemimpin pembangkang di kawasan berkenaan tidak pernah mengambil tahu nasib penduduk di situ.

"Pernah penduduk di sini buat aduan kepada mereka (pemimpin PKR) tentang masalah yang dihadapi, tetapi tiada sebarang tindakan yang dilakukan. Macam ini kah nak jadi pemimpin?" katanya.

Katanya penduduk di situ beberapa kali menghantar surat kepada Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy, tetapi sampai ke hari ini tiada sebarang jawapan. - BERNAM

No comments:

Post a Comment