My Add

Wednesday 18 July 2012

Selangor digesa henti keliru rakyat krisis air

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Julai, 2012: Kerajaan Selangor digesa berhenti segera daripada mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung isu air kerana perbuatan itu menimbulkan rasa panik dalam kalangan penduduk Selangor.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia, S. Piarapakaran berkata kenyataan terkini kerajaan negeri bahawa langkah mencatu air tidak wajar kerana empangan di Selangor penuh, adalah amat mengelirukan.

"Isu teras bukan air mentah tetapi bekalan air terawat yang tidak mampu menampung keperluan permintaan yang semakin meningkat," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Katanya pakar air menyatakan loji rawatan air kini beroperasi melebihi tahap optimum dan catuan disaran kerana bebanan tambahan mungkin menjejaskan rantaian bekalan air.

Beliau menjelaskan bahawa empangan direka untuk menakung air bagi tempoh tertentu dan jika air dalam takungan itu diguna pada kadar lebih cepat berbanding rancangan asal, paras air akan menurun sekali gus menggangu bekalan air ke loji rawatan.

Mengenai cadangan mencatu bekalan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Piarapakaran berkata hanya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara mempunyai kuasa membuat keputusan.

Katanya orang ramai dan pihak industri tidak peduli siapa yang membekalkan air selagi bekalan tidak terganggu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment