My Add

Friday 27 July 2012

Semangat perjuangan memuncak

*PENERJUN negara, Leong Mun Yee menjalani latihan di Pusat Akuatik di London, semalam.

LONDON, KHAMIS, 26 Julai, 2012:Doa restu kami pohonkan antara nada merendah diri tetapi penuh bersemangat yang ditagih 33 atlet negara yang antara mereka turun ke gelanggang pertarungan hari ini, beberapa jam sebelum Sukan Olimpik 2012 membuka tirainya secara rasmi di kota London malam ini.

Luahan itu disampaikan ketua kontinjen negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang bersemangat ketika meninjau latihan atlet terjun negara di pusat akuatik di Olympic Park, semalam.

Menurut Ahmad Sarji, persiapan akhir atlet negara berada pada tahap tertinggi dengan semua mereka telah berada di perkampungan sukan melainkan atlet olahraga Noraseela Khalid dan lompat tinggi, Lee Hup Wei yang dijangka menyertai yang lain tidak lama lagi.

“Semua persiapan atlet kita berjalan lancar dan saya tidak menerima apa-apa laporan tentang masalah kecederaan. Saya baru sahaja berbincang dengan ketua perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz dan beliau memberitahu tidak ada apa-apa yang mengganggu kesihatan mereka setakat ini.

'Saya melihat atlet kita dengan kepimpinan jurulatih masing-masing begitu bersemangat. Apa yang kita harap dan doa ialah agar mereka menunjukkan prestasi yang tinggi. Pada masa yang sama saya dan atlet negara mengharapkan doa restu rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan mereka memburu pingat negara," katanya.

Acara memanah akan memulakan aksi mencari kedudukan ranking di lapangan kriket hari ini, sebelum menembak memulakan pencarian pingat menerusi penyertaan tunggal penembak negara, Nur Suryani Mohamad Taibi di Lapangan Sasar Olimpik.

Dalam pada itu, Ahmad Sarji ketika ditanya perkembangan Nur Suryani, beliau menjelaskan, atlet itu cukup bersedia untuk memulakan aksi memburu pingat, esok manakala pemain harapan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei juga senada apabila acara badminton akan membuka tirai pada 30 Julai ini.

“Esok saya akan meninjau lagi latihan Nur Suryani manakala Chong Wei yang saya temui malam tadi (semalam) memberitahu saya dia sudah bersedia. Dia akan memulakan kempen pusingan pertama menentang pemain Finland dan berharap akan dapat bertemu pemain perseorangan Indonesia Simon Santoso selepas itu. Dia beritahu saya dia hanya kalah sekali sahaja kepada Santoso," ujarnya.

Malah, kata Ahmad Sarji, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzzam Shah turut bertanyakan keadaan Chong Wei semasa berkenan berbuka puasa bersama kontinjen negara semalam yang mana Tuanku turut memberikan kata perangsang.

Sementara itu, ditanya peluang negara mendapat pingat emas pertama, Ahmad Sarji memberitahu, beliau menyasarkan empat acara yang mempunyai peluang menyumbang emas antaranya memanah, berbasikal (trek), badminton dan terjun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment