My Add

Friday 20 July 2012

SPA dengar cadangan kaum India sertai perkhidmatan awam

PUTRAJAYA, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sedia mendengar pandangan dan cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India bagi meningkatkan penyertaan masyarakat India dalam sektor perkhidmatan awam, kata Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam. 

Beliau berkata, pembabitan kaum India dalam sektor awam hanya setakat empat peratus daripada 1.4 juta penjawat awam di negara ini, satu angka yang merisaukan kerajaan. 

"Sejak tahun 2009 hingga 2011, permohonan yang diterima oleh SPA secara purata ialah sebanyak 1.167 juta. Daripada jumlah itu hanya dua peratus iaitu sebanyak 20,000 permohonan melibatkan kaum India. Begitu juga dengan kaum Cina hanya dua peratus.
 
"Manakala 80 peratus permohonan diterima daripada kaum Melayu dan selebihnya 16 peratus daripada Sabah dan Sarawak," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan National Indian Rights Action Team (NIAT), sebuah NGO India, di sini, hari ini. 

Mahmood berkata, pengambilan secara besar-besaran juga tidak boleh dilakukan dalam masa terdekat memandangkan penjawat awam yang bersara hanya sekadar 7,000 orang tahun ini, berikutan umur persaraan ditingkatkan dari 58 ke 60 tahun berbanding sebelum penetapan had umur persaraan itu. 

Beliau berkata, SPA juga sedang menjalankan kajian dan mengumpul maklumat mengenai kekurangan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam dan seterusnya akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat. 

Pengerusi NIAT, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim mengalu-alukan usaha SPA dan kerajaan yang menjalankan pelbagai langkah proaktif bagi meningkatkan penyertaan kaum India dan kaum lain dalam perkhidmatan awam. 

Katanya bagi membantu usaha kerajaan, NIAT akan mengatur satu perjumpaan pada 11 Ogos ini dengan badan-badan NGO, persatuan termasuk parti politik berasaskan kaum India bagi mencari punca sebenar kekurangan kaum India dalam sektor awam. 

"Suatu ketika dulu pembabitan kaum India dalam sektor awam pernah mencecah sehingga 18 peratus tetapi kini ia jatuh jauh ke bawah. Semua pihak termasuk parti politik, NGO, persatuan berasaskan India mempunyai tanggungjawab bersama untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini. 

"Kita ketepikan perbezaan yang pada pada kita dan bersatu untuk kepentingan dan masa depan generasi baru India di negara ini. Kita perlu memastikan pembabitan masyarakat India sekurang-kurangnya 7 hingga 7 1/2 peratus dalam sektor awam," katanya. 

Thasleem juga kecewa dengan sikap beberapa kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak mahu memberikan sebarang maklumat berkaitan penglibatan kaum India di dalam sektor kerajaan negeri, kerajaan tempatan mahupun dalam GLC. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment