My Add

Thursday 12 July 2012

SPR digesa wujud akta baru

KUALA LUMPUR, RABU, 11 Julai, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mewujudkan peruntukan khas bagi menghalang mana-mana wakil rakyat yang secara sengaja melepaskan kedudukan untuk kembali bertanding pada pilihan raya.

Ahli Dewan Negara, Senator Noriah Mahat berkata, langkah itu perlu agar kes Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menyatakan hasrat mahu kembali bertanding tidak berulang pada masa depan.

Jelas beliau, tindakan wakil rakyat yang menggadaikan kepercayaan pengundinya demi memuaskan nafsu politik adalah perbuatan tidak berintegriti dan pemimpin sedemikian tidak layak kembali bertanding.

"Wan Azizah dulu pernah meletak jawatan tanpa sebab, kemudian mengumumkan mahu bertanding lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), perlukah kita benarkan selepas beliau sendiri tidak berintegriti.

"Kalau beliau letak jawatan atas dasar munasabah kita terima, tetapi ini tidak. Pemimpin yang tidak berintegriti dan memperalatkan sistem demokrasi tidak sepatutnya diberi hak bertanding semula," katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Semalam, Wan Azizah yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh empat tahun lalu kerana mahu memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat bertanding di kerusi DUN.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Presiden PKR itu layak bertanding kerusi DUN kerana Perlembagaan hanya melarang beliau kembali bertanding kerusi Parlimen dalam tempoh lima tahun selepas meletak jawatan.

Dalam pada itu, beliau menyelar politik dinasti yang diamalkan keluarga Anwar di sebalik laungan anti kronisme yang dijaja Ketua Pembangkang tersebut.

Katanya, ramai lagi calon berkelayakan dalam PKR yang boleh dan perlu diketengahkan khususnya di kalangan pemimpin muda.

"Suami sudah bertanding, anak sudah bertanding, isteri pun mahu bertanding juga? Bagilah peluang untuk orang lain dan jangan kita amal politik dinasti ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment