My Add

Tuesday 3 July 2012

Suaram didakwa diwujud untuk kelirukan rakyat

*RAMLAN Abu Bakar membuat pendedahan tentang agenda Suaram ketika mengunjungi pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 2 Julai, 2012: Kewujudan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dilihat semata-mata mahu mengelirukan rakyat berikutan peranannya yang cenderung sebagai alat dalam penyebaran fitnah ke atas kepimpinan negara.

Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, agenda tersembunyi 'pertubuhan' itu terbukti apabila mereka tergamak mempengaruhi ahli pakatan pembangkang yang lain untuk membuat laporan palsu kepada pihak polis.

"Ini merupakan pertama kali saya tampil mendedahkan permainan dan agenda tersembunyi Suaram.

"Selama 12 tahun berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya ibarat tali barut Suaram.

"Suaram tidak akan bertindak atas nama syarikat mereka, sebaliknya gunakan orang lain untuk mencapai sesuatu matlamat," katanya ketika ditemui di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah supaya Suaram menjelaskan kedudukan sebenarnya kerana semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati ia adalah syarikat swasta yang mempunyai pendapatan lebih RM900,000 dalam tempoh 2009 dan 2010.

Ramlan mendakwa, Suaram telah mempengaruhinya untuk membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Laporan polis bertarikh 21 Oktober 2008 di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dibuat atas nama Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMM).

"Antara terlibat membuat laporan pada masa itu ialah Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin; Aiman Athirah Al-Junid, Wan Mohd. Anies Wan Adham, Amin Iskandar dan saya.

"Seingat saya individu yang membuat laporan tidak dibekalkan dengan salinan laporan polis. Begitulah hebatnya rancangan Suaram untuk menjatuhkan kerajaan iaitu menerusi undang-undang dan penganjuran demonstrasi jalanan," dakwanya.

Menurut Ramlan, menerusi maklumat yang diperolehinya, sumber pendapatan terbesar syarikat itu adalah hasil pembiayaan salah seorang pemimpin pakatan pembangkang.

"Saya cabar pemimpin berkenaan buat pengesahan dan beri penjelasan sumbangan sebenar pendapatan syarikat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment