My Add

Wednesday 11 July 2012

Tanding Dun: Wan Azizah timbang dengan ‘serius’

NORHASPIDA YATIM 
PETALING JAYA, SELASA, 10 Julai, 2012: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sedang mempertimbangkan dengan ‘serius’, mengambil kira pelbagai aspek - bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun, isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini enggan mengulas di kawasan dan negeri mana beliau akan bertanding.

Sebaliknya, beliau berkata, akan berbincang terlebih dahulu sebelum memutuskan kawasan mana beliau akan bertanding.

“Bergantung pada mana-mana yang sesuai. Kalau bertanding Dun, saya mesti ada sokongan pengundi di kawasan itu.

“Langkah pertama yang saya perlu buat adalah putuskan sama ada mahu bertanding atau tidak dan perlu utamakan faktor kemenangan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, sebentar tadi.

Pada pilihan raya umum lalu dan ketika pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh 2008, Dr Wan Azizah mengundi di SK Sri Penanti yang terletak di kerusi Dun Permatang Pasir.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa Dr Wan Azizah, yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen empat tahun lalu, layak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam PRU13.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan beliau masih tertakluk kepada larangan bertanding semula kerusi Parlimen.

Penasihat undang-undang dan pemimpin kanan PKR, R. Sivarasa; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu bahawa undang-undang tidak mengenakan sebarang halangan jika seorang anggota Dewan Rakyat yang meletakkan jawatan tanpa alasan yang kukuh daripada bertanding kerusi Dun.

"Saya baca Perlembagaan Persekutuan dan saya mendapati Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan tidak boleh bertanding semula kerusi Parlimen selama lima tahun.

"Begitu juga seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meletakkan jawatan, dia hanya tidak boleh bertanding kerusi Dun di mana-mana negeri untuk satu tempoh selama lima tahun, tetapi sama ada dia (bekas Adun terbabit) boleh bertanding kerusi Parlimen atau seorang (bekas) Ahli Parlimen boleh bertanding kerusi Dun, Perlembagaan Persekutuan nampaknya sepi dalam hal ini, tiada peruntukan yang jelas," kata beliau kepada Sinar Harian Online.


No comments:

Post a Comment