My Add

Friday 13 July 2012

TPM bayangkan PRU-13 makin hampir

TAIPING, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah begitu hampir dan menggesa semua ahli Barisan Nasional (BN) bekerjasama bagi mengukuhkan jentera pilihan raya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, kerjasama yang erat antara semua ahli BN merupakan prasyarat utama untuk mencapai kejayaan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Pilihan raya semakin hari semakin dekat, bukan semakin jauh. Bila waktunya saya kurang tahu tetapi rasa di benak dan hati saya, ia semakin hampir tiba.

"Sebab itu, gerak kerja dalam menyiapkan jentera pilihan raya menjadi satu tanggungjawab yang amat besar sekali," katanya ketika merasmikan upacara pecah tanah bangunan UMNO Bahagian Taiping hari ini.

Bangunan UMNO Bahagian Taiping setinggi tiga tingkat itu akan dibina di atas tapak seluas kira-kira 297 meter persegi dengan kos sebanyak RM1 juta dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

Hadir sama Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga meminta BN Perak di bawah pimpinan Zambry terus mengukuhkan jentera pilihan raya serta turun ke bawah bagi membantu membela serta menyelesaikan masalah dan isu-isu rakyat.

"Kalau itu dapat dilakukan, saya yakin kepercayaan rakyat kepada BN akan terus kekal kukuh dan menjamin kita mencapai kejayaan," ujarnya.

Terdahulu, semasa merasmikan Hotel Taiping Perdana dan Karnival Koperasi Zon Tengah 2012 di sini, beliau berkata, pengurusan koperasi perlu mengenal pasti penilaian fundamental ke atas matlamat institusi itu bagi menentukan arah tuju mereka pada masa hadapan.

Muhyiddin berkata, ketika negara dalam proses melakukan transformasi ekonomi dan sosial melalui Model Ekonomi Baru dan gagasan 1Malaysia, peranan koperasi dalam ekonomi negara adalah penting dan strategik.

"Sasaran telah ditetapkan supaya sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dipertingkatkan daripada satu peratus kepada sekurang-kurangnya lima peratus menjelang 2013.

"Kini, di seluruh negara, saya difahamkan sehingga 31 Disember 2011, terdapat sejumlah 9,074 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.04 juta orang, mempunyai syer atau yuran bernilai RM10.4 bilion dengan aset bernilai RM92.8 bilion yang menghasilkan pulangan bernilai RM3.08 bilion," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Koperasi Guru-Guru Melayu Larut, Matang, Selama dan Dinding Taiping Berhad kerana berjaya membina sebuah hotel bernilai RM28 juta dan ia menggambarkan sebuah koperasi boleh menjadi sebuah institusi berjaya jika diuruskan dengan betul.

Muhyiddin turut mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada Koperasi Guru-Guru Melayu Larut, Matang, Selama dan Dinding Taiping Berhad dan menyaksikan penyampaian cek pinjaman serta geran bantuan pembangunan berjumlah RM2.17 juta oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada tujuh koperasi di Perak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment