My Add

Thursday 12 July 2012

UMNO perlu bersatu untuk menang PRU-13: Muhyiddin

TAIPING, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan semua anggota dan pemimpin UMNO supaya memperkukuhkan perpaduan sekiranya mahu melihat Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, perpaduan adalah prasyarat utama untuk kemenangan BN, dan oleh itu semua pemimpin harus bersatu dan memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya.

"Saya mahukan BN Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak) supaya terus memperkukuhkan jentera pilihan raya dan selalu turun ke bawah bagi mengukuhkan kembali kepercayaan rakyat kepada BN," katanya pada majlis pecah tanah Bangunan UMNO Bahagian Taiping di sini. 

Bangunan tiga tingkat yang berharga RM1 juta itu dijangka siap dalam tempoh setahun. 

Muhyiddin berkata, BN Perak harus memastikan parti terus kuat dan menebus semula kekalahan sebelumnya serta mencapai kemenangan yang lebih baik. 

Beliau berkata, menjadi pemimpin UMNO dan BN sekarang bukanlah tanggungjawab yang ringan kerana zaman telah berubah dan banyak pihak membuat pelbagai tuntutan. 

"Tanggungjawab sebagai pemimpin sangat mencabar, namun apa yang penting kita mula lakukan perubahan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) pun memulakan proses transformasi ekonomi dan politik," katanya. 

Muhyiddin menegaskan bahawa keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN haruslah dikekalkan bagi menjamin kemenangan parti pada masa-masa akan datang. 

Turut hadir pada upacara pecah tanah itu ialah Dr Zambry dan Ketua UMNO Bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment