My Add

Friday 13 July 2012

Wanita warga emas ditemui mati dicekik

KUANTAN, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Seorang wanita warga emas ditemui mati dipercayai dicekik dalam satu kejadian samun di rumahnya di Lorong Alor Akar 30, di sini, semalam. 

Ketika kejadian, mangsa, Goh Eng Mooi, 60, dilaporkan tinggal bersendirian manakala semua lima anaknya yang tinggal di rumah berkenaan berada di tempat kerja masing-masing.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata kejadian hanya disedari seorang anak lelakinya yang pulang dari tempat kerja kira-kira jam 4 petang untuk membawa mangsa menjalani pemeriksaan rutin di sebuah hospital pakar di sini. 

"Ketika memasuki rumah, anak mangsa terkejut apabila melihat ibunya terbaring kaku dalam sebuah bilik dengan kesan lebam di lehernya. 

"Anak mangsa kemudiannya membawa wanita itu ke Hospital Pakar Kuantan (KSH) bagaimanapun doktor di situ mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita hari ini. 

Kata Mohd Jasmani, pihak polis menerima panggilan dari hospital terbabit kira-kira jam 4.40 petang memaklumkan berhubung kematian wanita berkenaan. 

Hasil siasatan Unit Forensik polis di lokasi kejadian, didapati dua komputer riba, sebuah telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM200 hilang dari rumah itu, katanya. 

"Kita juga percaya kematian mangsa disyaki ada kaitan dengan unsur jenayah dan berkaitan dengan kes samun di rumah berkenaan, pihak polis masih menyiasat kes itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment