My Add

Monday 2 July 2012

Warga emas mati dipercayai dipukul, dicampak ke perigi

MELAKA: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai dipukul sebelum dicampak ke dalam perigi sedalam lapan meter di bahagian dapur rumahnya di Bukit Sebang Tampin Alor Gajah di sini, malam tadi. 

Mangsa, Yau Fook San, 68, yang tinggal berseorangan di rumah selepas kematian ibunya sejak enam tahun lalu ditemui kira-kira jam 8 malam selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak bomba. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata polis menerima maklumat mengenai kehilangan Yau pada jam 4.20 petang semalam daripada kakak mangsa.

Beliau berkata, mangsa tidak bekerja dan sering berulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama adik-beradiknya di ibu negara. 

"Kali terakhir ahli keluarga mangsa dapat berhubung dengannya ialah pada Jumaat lalu namun gagal menghubungi mangsa pada keesokan harinya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Umar Ali Saifuddin berkata, adik-beradik Yau kemudian pergi ke rumah mangsa petang semalam kerana bimbang sesuatu buruk berlaku ke atasnya. 

Beliau berkata, setiba di rumah itu, ahli keluarga mangsa mendapati pintu hadapan rumah berkunci sebelum masuk dan mencari mangsa di dalam bilik namun gagal ditemui.

Katanya, mereka kemudian ke bahagian belakang rumah dan terlihat percikan darah berhampiran peti sejuk sebelum mencari mangsa di bahagian dapur yang turut menempatkan perigi tersebut. 

"Ketika menjenguk ke dalam perigi mereka mendapati terdapat kusyen sofa menutup permukaan air perigi tersebut sebelum membuat laporan polis kerana mengesyaki sesuatu berada di dalam perigi itu," katanya. 

Umar Ali Saifuddin berkata, pihak polis bersama bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan mengeluarkan enam kusyen dari perigi tersebut sebelum menemui mayat mangsa. 

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment