My Add

Sunday 15 July 2012

WP juara keseluruhan badminton Sukma

KUANTAN, AHAD, 15 Julai, 2012: Wilayah Persekutuan muncul juara keseluruhan acara badminton Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 apabila Zulfadli Zulkifli menyumbangkan emas terakhir dalam acara perseorangan lelaki hari ini. 

Zulfadli mempamerkan permainan agresif telah menewaskan pemain perseorangan dari Johor, Tan Kian Meng dengan catatan mata 21-14 pada set pertama perlawanan. Pemain muda itu kelihatan berang dengan kekalahan pada babak kedua perlawanan, 13-21, bagaimanapun bangkit kembali menundukkan Tan dengan kemenangan 21-7 di set ketiga. 

"Memang saya jangka perlawanan hari ini sangat sengit. Tan pemain yang bagus sebab dia boleh baca permainan saya, dia juga mempunyai kelebihan daripada aspek ketinggian," katanya kepada pemberita di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini. 

Zulfadli meraih pingat emas manakala pingat perak dan gangsa, masing-masing disandang oleh Johor menerusi Tan dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin. 

Iskandar menewaskan pemain Sabah, Lim Yu Fu dengan 21-16 dan 21-18 dalam masa 31 minit. 

Zulfadli berkata, tumpuannya selepas ini adalah untuk meningkatkan kedudukan dalam ranking Badminton World Federation (BWF) bagi melayakkan diri menyertai kejohanan Badminton All England tahun hadapan. 

Pemain muda yang sedang meningkat naik ini dijadual menyertai Kejohanan Terbuka Vietnam pada 21 sehingga 26 Ogos depan. 

Wilayah Persekutuan hari ini menutup tirai acara badminton dengan meraih tiga pingat emas dan satu pingat perak. Selangor ditempat kedua dengan pungutan dua pingat emas dan dua pingat gangsa. Manakala Melaka di tempat ketiga, satu pingat emas dan satu gangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment