My Add

Sunday 23 September 2012

Bajet  tidak dikurangkan walaupun ekonomi dunia berdepan krisis

IPOH, AHAD, 23 September, 2012:: Kerajaan tidak mengurangkan bajet untuk 2013 walaupun ekonomi dunia berdepan dengan krisis kewangan kerana langkah itu boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara mengalami penurunan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, sekiranya berlaku penyusutan pertumbuhan ekonomi, ia juga akan menjejaskan keadaan negara terutama daripada segi pengeluaran dan akhirnya mengakibatkan kedudukan kadar peratusan pengangguran meningkat. 

"Dalam penyediaan bajet, kita membuat unjuran yang berasaskan kepada andaian yang mengambil kira keadaan ekonomi masa kini dan akan datang. Antara lain kita mengambil unjuran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengenai bagaimana kedudukan ekonomi pada 2013, berapakah harga minyak, komoditi dan pelbagai faktor yang kita ambil," katanya selepas meraikan bakal jemaah Haji Parlimen Tambun di Dewan Serbaguna Taman Meru di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan semua unjuran yang dibuat itu, kerajaan akan membuat data dan statistik mengenai ekonomi negara serta bajet tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan mengurangkan bajet kerana asas kepada Bajet 2013 adalah perlu memastikan adanya lebihan kos operasi, pengurangan defisit dan 'debt to GDP ratio' perlu dikekalkan di bawah 55 peratus.

Ekonomi negara perlu diperkukuhkan supaya dapat mencapai pertumbuhan positif secara berterusan pada tahap sederhana besar iaitu pada kadar lima peratus bagi tahun-tahun yang berdepan dengan situasi sukar, katanya.

Ahmad Husni berkata, kerajaan menjangka unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun depan lebih baik daripada tahun ini serta dapat mempertahankan ekonomi negara selain memastikan kadar peratus pengangguran kekal kecil.
"Jika kita lihat negara yang berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang kecil, (mereka) berdepan dengan kadar pengangguran yang begitu tinggi iaitu lapan hingga 15 peratus, bagi negara kita, ini bukan yang ingin dicapai maka kita mesti pertahankan kadar pengangguran yang kecil iaitu di bawah tiga peratus," katanya.

Mengulas 'quantitative easing' (QE) yang diumumkan oleh Amerika Syarikat pada 13 Sept lepas serta pelancaran QE pusingan kelapan oleh Jepun, beliau berkata, ia tidak akan memberi masalah kepada Malaysia kerana kedudukan makro ekonomi negara kukuh.

"Dan kedua, bila berlaku pengaliran wang dari luar ke negara kita, (oleh kerana) kedudukan negara kita begitu kukuh dari segi struktur vertikal kita mampu menyerap dan meningkatkan pengaliran dana itu ke dalam negara kita seperti Bursa kita," katanya.

Beliau berkata, walaupun berlaku krisis ekonomi, Bursa Malaysia tetap teguh sedangkan bursa-bursa lain berdepan dengan penurunan indeks.

Sektor kewangan negara kukuh dengan pasaran bon dan sukuk yang besar, ini bermakna apabila berlaku kemasukan dana dalam pasaran modal, negara boleh menyerap pertambahan kemasukan dana itu berbanding negara lain yang mempunyai pasaran modal yang kecil, katanya.

"Oleh kerana mempunyai pasaran modal yang kecil, ia akan mengalir ke bidang biasanya sektor hartanah, yang mana orang akan beli rumah, bangunan supaya pelaburan akhirnya yang kita panggil 'economic bubble'. Ini tidak terjadi kepada negara kita," katanya.

Beliau berkata, selepas negara mengalami krisis ekonomi pada 1997 hingga 1999, negara mengukuhkan sistem kewangan negara dan tidak pernah menghadapi masalah seperti apabila Amerika Syarikat melaksanakan QE1 dan QE2 di mana di negara-negara jiran berlaku 'economic bubble' berkenaan.

"Kita tidak ada kebimbangan daripada segi itu kerana struktur vertikal kita sangat kukuh...(manakala) inflasi kita pada peringkat sekarang tidak begitu tinggi, yang mungkin kita lihat berlaku fenomena dunia adalah kenaikan harga barang-barang makanan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment