My Add

Friday, 28 September 2012

Belia nikmati rebat RM200 bagi pembelian telefon bimbit pintar 3G

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Golongan belia akan menikmati rebat sebanyak RM200 secara one-off atau bayar sekali bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G, yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada lebuh raya maklumat, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan hari ini.

Perdana Menteri berkata, pakej khas itu, yang akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan syarikat telekomunikasi, terbuka kepada belia berumur antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah. 

"Sebanyak RM300 juta disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang menjadi perhimpunan belia terbesar negara sempena perisytiharan 2013 sebagai Tahun Kesukarelaan Nasional.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini berjaya mengumpulkan kehadiran 1.5 juta belia pada Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya pada Mei lepas.

Najib berkata, dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintergriti, kreatif dan berinovasi, kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara.

Bagi mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara, kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia for Youth atau 1M4U bagi golongan itu mempersembah idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. 

"Tiga idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia," kata Najib.

Katanya, bagi membantu usahawan muda dalam bidang informasi, komunikasi dan teknologi (ICT), sebuah yayasan dengan nama New Entrepreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta bagi program latihan dan bimbingan.

Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan RM50 juta, disediakan oleh SME Bank.

Dana pinjaman mudah alih ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar pinjaman sebanyak dua peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak RM100 serta bayaran balik selama tujuh tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment