My Add

Sunday 16 September 2012

BN Sabah tidak tergugat Yahya sertai PKR: Musa Aman

BEAUFORT, AHAD, 16 September, 2012: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di Sabah tidak terjejas berikutan tindakan bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Yahya Lampong dan tokoh korporat terkenal Tan Sri Ibrahim Menudin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Itu hak masing-masing. Kita akan terus kuat dan mantap serta bersatu padu. Apa yang penting kami akan menghadapi pilihan raya umum dengan semangat berkobar-kobar bagi memastikan kejayaan besar BN di Sabah dan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di Dewan Pa Musa Beaufort, di sini hari ini.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu. Semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ibrahim dan Yahya masing-masing menyertai PKR di Labuan dan Dalit, Tuaran.

Pada pilihan raya umum lepas, BN hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 25 kerusi Parlimen dan hanya tewas di kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment