My Add

Saturday 22 September 2012

BNM pertimbang lebih fleksibiliti untuk industri insurans

KUALA LUMPUR, SABTU, 22 September, 2012 Bank Negara Malaysia sedang mempertimbang untuk memberikan lebih fleksibiliti kepada industri dan syarikat insurans untuk merangka struktur komisen yang bersesuaian dengan falsafah perniagaan masing-masing.

Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, pertimbangan terbabit adalah berdasarkan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 dan juga selaras dengan perkembangan semasa ekonomi. 

Beliau berkata, adalah diharapkan bahawa dengan memberi industri insurans keupayaan untuk menentukan struktur komisen tersendiri, ia akan diperkenalkan seiring dengan ketelusan struktur komisen itu sendiri.

"Pendedahan struktur komisen bukanlah perkara baru, malah ia diamalkan oleh kebanyakan negara di rantau ini.

"Oleh itu adalah penting kepada para ejen bersedia untuk beroperasi di bawah persekitaran yang lebih telus dan liberal," kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera 2012, hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad berkata, kepentingan orang ramai akan sentiasa dilindungi supaya pengguna tidak menanggung kos yang tidak perpatutan dan diberi maklumat yang secukupnya dan pada masa yang tepat untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, di bawah Pelan Sektor Kewangan yang sama, Bank Negara akan menggalakkan industri insurans dan takaful membangunkan produk insurans dan dan takaful mikro bagi memperluaskan lagi jangkauan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. 

"Pembekalan khidmat insurans ini akan dibuat dengan cara yang efisien dari segi kos, mudah diakses, mudah untuk difahami dan mudah untuk mendapat pampasan," katanya.

Muhammad berkata, Bank Negara akan membenarkan syarikat insurans menyediakan pembiayaan latihan dan pembangunan yang lebih fleksibel kepada ejensi insurans, bagi membantu para ejen yang baharu menyertai industri insurans.

Beliau berkata, langkah ini diambil oleh Bank Negara dengan kerjasama industri insurans demi memperkukuhkan industri insurans di Malaysia.

"Selain dari itu, bagi menggalakkan ejen insurans hayat menaik taraf perniagaan mereka sebagai penasihat kewangan, satu pakej insentif sedang dipertimbangkan untuk tujuan ini.

"Inisiatif ini diharapkan dapat memberikan dorongan kepada ejen-ejen insurans untuk meningkatkan produktiviti, kemahiran dan profesionalisme sebagai ejen insurans hayat yang berjaya," kata Muhammad. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment