My Add

Friday 28 September 2012

Chong Wei rampas takhta No. 1



*LEEChong Wei kembali merampas kedudukan No. 1 dunia daripada musuh tradisi, Lin Dan dalam ranking terbaru, semalam.

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 September, 2012: Kekecewaan Datuk Lee Chong Wei pada Sukan Olimpik London sedikit terubat apabila dia merampas kembali takhta No. 1 dunia daripada musuh tradisi, Lin Dan semalam, malah dijangka mengekalkan kedudukan tersebut sehingga penutup 2012.

Kejayaan menjuarai Siri Super Terbuka Jepun, minggu lalu memberi 9,200 mata ranking buat jaguh perseorangan negara itu, sekali gus memintas Lin Dan dengan kelebihan tipis 1,505. Chong Wei mengumpul 93,298 mata keseluruhan, manakala Lin Dan 91,793.

Chong Wei, 29, yang menumpaskan Boonsak Posana 21-18, 21-18 ketika merangkul gelaran ketiga Terbuka Jepun mampu mengekalkan kedudukannya sehingga akhir tahun memandangkan Lin Dan tidak akan beraksi pada dua kejohanan utama di Eropah bulan depan, Siri Super Premier Terbuka Denmark (16-21) dan Siri Super Terbuka Perancis dari 23-28.

Selepas menerajui takhta No.1 dunia selama 191 minggu, Lin Dan memintas Chong Wei pada ranking 21 Jun dan mengekalkan kedudukan selama 14 minggu. Dia juga mengecewakan Chong Wei dalam perebutan pingat emas Olimpik, bulan lalu.

Bagi jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock, kejayaan melonjak kembali ke takhta No. 1 merupakan motivasi terbaik buat Chong Wei, apatah lagi jika kedudukan itu dapat dikekalkan sehingga musim baru 2013.

Begitupun beliau mengakui, cabaran terbesar anak didiknya itu kini adalah mengekalkan prestasi.

“Saya tidak terkejut dia merampas takhta No. 1 kerana prestasinya masih di tahap terbaik. Malah, saya gembira dia melakukannya ketika sedang berada dalam mood relaks.

“Kejayaan menjuarai Terbuka Jepun dan naik No. 1 memberi motivasi Chong Wei sebelum memulakan tahun baru. Tempoh tiga bulan terakhir ini dianggap tempoh relaks kerana bebannya sudah hilang sebaik Olimpik berakhir.

“Jadi, sebelum tirai 2013 dibuka, bagus jika dia dapat mengukuhkan kedudukan kerana sebaik musim baru bermula, dia bakal berdepan cabaran lebih besar kerana Kejohanan Dunia bakal menanti," ujar Seu Bock.

Selain Terbuka Denmark dan Perancis, empat lagi kejohanan yang bakal menanti Chong Wei adalah Siri Super Premier Terbuka China (13-18 November), Siri Super Terbuka Hong Kong (20-25 November), Grand Prix Emas Terbuka Macau (27 November-2 Disember), selain Siri Super Masters Akhir di Shenzen 12-16 Disember.

Sementara itu kejayaan menjuarai Terbuka Jepun turut membolehkan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melonjak ke ranking terbaik dalam karier mereka. Pasangan muda negara itu naik dua anak tangga ke kedudukan kelima.

Kenaikan turut dialami Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, yang melonjak satu anak tangga ke No. 6, berterima kasih kepada kejayaan muncul naib juara di Jepun.

Empat pemain China berada dalam kelompok 10 terbaik perseorangan lelaki, diketuai Lin Dan (2), Chen Long (3), Chen Jin (4) dan Du Pengyu (9).

Selain Chong Wei, tiada pemain Malaysia lain berada dalam kedudukan 25 terbaik.

Chong Wei Feng yang naik enam tangga tangga menghuni kedudukan ke-27, manakala Liew Daren 28 (naik satu tangga).

Muhammad Hafiz Hashim di tangga ke-38, Tan Chun Seang (39), Mohd. Arif Abdul Latif (52), Misbun Ramdan Misbun (70), Chan Kwong Beng (76), Zulfadli Zulkifli (80), Goh Soon Huat (97) dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, 99. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment