My Add

Wednesday 19 September 2012

Filem animasi saluran terbaik didik kanak-kanak berhubung isu semasa

KUALA LUMPUR, RABU, 19 September, 2012: Filem animasi adalah kaedah terbaik untuk mendidik kanak-kanak berhubung pelbagai isu semasa, khususnya masalah sosial, kata Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Beliau berkata, menerusi filem bercorak animasi, pemikiran kanak-kanak lebih mudah untuk dibentuk ke arah yang lebih positif dan segar kerana karya berkenaan mudah didekati serta diikuti oleh golongan terbabit.

Katanya, setiap paparan atau watak yang ditonjolkan dalam filem animasi juga adalah gimik semata-mata berbeza dengan filem sebenar yang menayangkan aksi sebenar seperti pergaduhan.

"Saya tak kata jangan tengok filem sebenar, tapi kalau kanak-kanak tengok filem sebenar, tengok aksi dalam filem itu mereka akan anggap aksi itu benar," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Shellhut Entertainment Co.Ltd dan GMM Grammy dari Thailand dengan SG Entertainment (M) Sdn Bhd di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengenai kerjasama itu, D'Cruz menyifatkan ia sesuatu yang sangat baik kerana membolehkan syarikat penerbitan tempatan mempelajari dan berkongsi kepakaran dengan syarikat dari Thailand yang bertaraf antarabangsa.

Menerusi MoU itu, SG Entertainment (M) Sdn Bhd akan bersama-sama dengan Shellhut Entertainment Co.Ltd untuk menerbitkan filem animasi "Shelldon" musim ketiga dan filem animasi "Byrd" musim kedua yang akan memaparkan identiti dan budaya rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan SG Entertainment (M) Sdn Bhd, Krishna Superamaniam, berkata kerjasama dengan Shellhut Entertainment Co.Ltd adalah berbentuk jangka panjang kerana selepas ini kedua-dua syarikat akan melaksanakan satu projek yang membabitkan Thailand, Korea, China, Jepun dan Singapura. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment