My Add

Sunday 16 September 2012

Hentikan debat 31 Ogos dan 16 Sept, kata Najib

*NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai sempena Rumah Terbuka Hari Malaysia di Kampung Assyakirin di sini hari ini - Foto Bernama

BINTULU, AHAD, 16 September, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perdebatan mengenai tarikh 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963 dihentikan kerana kedua-dua tarikh itu membawa makna besar dan penting dalam sejarah negara.

"...31 Ogos dan 16 Sept kedua-dua adalah tarikh keramat," katanya pada majlis Rumah Terbuka Hari Malaysia di Kampung Assyakirin di sini hari ini.

Najib berkata, yang penting sekarang untuk tidak menoleh ke belakang, sebaliknya bergerak ke hadapan demi kepentingan rakyat dan negara dengan kerajaan persekutuan memberi jaminan pembangunan yang berterusan dinikmati Sarawak selaras dengan visi kerajaan negeri untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, sejak Sarawak menyertai Malaysia, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersama-sama berjaya membuat perubahan secara berterusan tanpa perlu membuat deklarasi baru.

"Banyak kemungkinan menjadi kenyataan bagi Sarawak," katanya sambil menambah yang penting sekarang persefahaman yang baik antara kerajaan negeri dan pusat dikekalkan sampai bila-bila.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu kesinambungan kepimpinan negara yang diasaskan sejak kemerdekaan sehingga yang ada sekarang akan berterusan bagi memastikannya menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi.

Beliau berkata ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan kerjasama kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tun Abdul Rahman Yakub dalam tahun 1970-an, berjaya meletakkan asas bagi Bintulu untuk menjadi sebuah bandar yang maju melalui pembangunan sumber gas dan petroleum.

"Sekarang kita mahu tingkatkan lagi pembangunan kita, bukan hanya bergantung kepada sumber asli tapi melalui pembangunan industri berteknologi tinggi," katanya.

Turut berada di majlis yang dihadiri lebih 10,000 orang itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment