My Add

Sunday 2 September 2012

Hisham: Politik kebencian termasuk serang bas perlu dihenti

SITI SAFA MOHD NOR
KAMPUNG GAJAH, AHAD, 02 September, 2012:Politik kebencian yang sedang berlaku harus dihentikan segera bagi mengelakkan ia terus menular di kalangan rakyat negara ini, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sehubungan itu tegas Menteri Dalam Negeri, tindakan segelintir pihak yang memijak bendera, membaling batu dan cat kepada bas yang digunakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, memijak gambar Perdana Menteri kelmarin selain membuat ugutan bunuh ke atas pemimpin adalah satu kesalahan serius yang perlu diambil tindakan segera.

Menurutnya, insiden yang berlaku berkenaan akan dikendalikan bersama kerana ia melibatkan semua pihak tanpa memilih kepentingan masing-masing.

“Saya melihat insiden yang berlaku itu menjadi tumpuan rakyat dan tindakan segera harus diambil terhadap perkara ini.

“Kita mempunyai pelbagai undang-undang termasuklah polis dari segi konteks siasatan, peguam negara dari segi konteks pendakwaan dan kehakiman dari segi konteks kes dan juga hukuman.

“Kita mempunyai keseimbangan undang-undang kerana polis tidak boleh membuat tindakan sesuka hati mereka,” kata beliau pada sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Felcra Wilayah Perak di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, masyarakat hari ini mahu melihat satu tindakan diambil kerana negara mempunyai undang-undang.

“Jika tidak boleh diambil tindakan pun, ia perlu dimaklumkan kepada masyarakat mungkin undang-undang tidak cukup, bukti tidak cukup dan sebagainya.

“Pihak polis harus menyiasat terlebih dahulu perkara ini dan bersama badan terlibat lain berbincang akta mana yang mahu didakwa bagi kes-kes berkaitan.

“Orang ramai juga harus tahu hasil siasatan itu supaya tidak berlaku eksploitasi maklumat yang tidak betul di sebarkan,” katanya.

Katanya, siasatan perlu dilakukan secara telus dan tidak mahu berlaku tunding jari pelbagai pihak kerana perkara itu tidak akan ada kesudahan. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment