My Add

Saturday 15 September 2012

Legoland Malaysia terajui hab hiburan terkemuka Asia

JOHOR BAHRU, SABTU, 15 September, 2012: Taman Tema Legoland pertama di Asia dengan rasminya dibuka kepada orang ramai hari ini, sekali gus merapatkan lagi Johor dan Iskandar Malaysia untuk menjadi hab hiburan utama di Asia.

Ribuan pengunjung berbaris menanti dengan penuh sabar seawal jam 7 pagi untuk memasuki taman tema yang berkeluasan 31 hektar yang terletak di Nusajaya itu adalah yang keenam terbesar seluruh dunia, selepas Denmark, United Kingdom, California, Jerman dan Florida.

Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst yang memantau pembinaan taman itu begitu teruja dan terharu kerana beliau sendiri yang mengalu-alukan pengunjung pertama ke taman berkenaan.

"Ia adalah saat yang begitu emosi untuk saya dan setiap orang di Legoland. Saya amat bernasib baik kerana menjadi sebahagian daripada mereka yang merasakan saat emosi seumpama itu di sini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, adalah sesuatu yang amat menggembirakan melihat wajah riang dan senyuman setiap pengunjung, terutamanya kanak-kanak sebaik saja mereka menjejak kaki ke taman itu untuk menikmati lebih daripada 40 permainan interaktif, pertunjukan dan tarikan.

Taman itu, yang diinspirasikan daripada blok binaan mainan Denmark, dibahagikan kepada tujuh kawasan tema dan terdiri daripada lebih 50 juta kepingan blok LEGO.

"Kami bina Legoland untuk melihat wajah-wajah keriangan dan senyuman kanak-kanak bergembira menaiki tunggangan dan taman itu sendiri... kami mahu lihat itu. Ia adalah saat yang mengujakan kami," kata Boerst.
Walaupun taman tema itu hanya dibuka pada jam 10 pagi ini, Legoland Malaysia bagaimanapun, sudah menyediakan pelbagai aktiviti untuk menghiburkan pengunjung sementara menunggu pintu dibuka.

Antaranya, persembahan daripada pancaragam yang diterbangkan khas dari Denmark dan tarian istimewa atau "The Power Dance" yang disajikan pekerja Legoland Malaysia.

Dalam pada ribuan pengunjung berpusu-pusu ke taman tema Legoland Malaysia hari ini, Boerst menjelaskan yang taman itu dibina dengan kos RM720 juta adalah sangat penting kerana ia adalah yang pertama di Asia.

Menurut beliau, Asia, Johor dan Iskandar Malaysia adalah lokasi yang sesuai kerana ia adalah pasaran yang pesat berkembang, berbanding dengan pasaran Eropah yang gawat kerana masalah kewangan zon Euro.

Menurut beliau lagi, tiada tempat yang lebih baik untuk Legoland Malaysia yang terletak begitu strategik dalam lingkungan Iskandar Malaysia.

"Johor dan Iskandar Malaysia ialah lokasi yang hebat yang boleh didatangi jutaan orang di Asia. Singapura dan Johor akan menjadi hab hiburan terkemuka di Asia," katanya.

Pengurusan Legoland Malaysia, katanya, sememangnya percaya dengan potensi dan masa depan Iskandar Malaysia, zon ekonomi khas bersempadan Singapura.

Beliau berkata, RM1.6 bilion dibelanjakan untuk membina taman tema Legoland pertama Asia serta taman tema air Legoland dan Hotel Legoland pertama Asia.

Taman air dan hotel Legoland, yang terletak berdekatan dengan taman tema itu, masing-masing akan dibuka tahun depan dan 2014. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment