My Add

Saturday 22 September 2012

Kerajaan tumpu bantu bina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat

NANNING (China), SABTU, 22 September, 2012:: Kerajaan akan memberi tumpuan untuk membantu pembinaan lebih banyak rumah mampu milik bernilai di bawah RM300,000 bagi perumahan awam dan swasta kerana menyedari harga rumah semasa menyukarkan rakyat terutama golongan menengah memilikinya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan menyedari masalah itu sejak beberapa tahun lalu dan mengusahakan strategi yang diselaraskan dengan kemampuan rakyat sejajar dengan konsep rakyat didahulukan. 

"Harga rumah jauh lebih tinggi, pegawai kerajaan yang baru mula kerja pun tak mampu nak beli mampu milik ini. Ia akan jadi agenda penting kerajaan untuk bantu rakyat memiliki rumah mampu bina," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan kerjanya ke China.

Muhyiddin berkata rumah berharga RM300,000 ke bawah akan menjadi tumpuan selepas kajian dijalankan terhadap pendapatan rakyat dan kos jualan pemaju.

Beliau berkata swasta mungkin akan digalakkan membina rumah mampu milik dengan mempertimbangkan pemberian insentif agar mereka dapat membantu membina rumah kategori sedemikian.

"Kalau mereka tidak untung besar tapi bilangan pembeli ramai, akhirnya beri keuntungan pada mereka juga. 

Tetapi mungkin isu penting soal tapak, ada tanah tetapi tidak sesuai, tempat tiada penghuni dan isu lain yang kementerian pusat dan kerajaan negeri harus cari jalan menyelesaikannya," katanya.

Katanya beliau menjangkakan projek-projek rumah mampu milik akan dapat dilaksanakan lebih pantas selepas pembentangan Belanjawan 2013.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan yang akan membentangkan belanjawan itu pasti mengetahui situasi serta keupayaan kemampuan.

Mengulas belanjawan yang akan dibentangkan pembangkang yang antara lain mengenai rumah mampu milik, Muhyiddin berkata ia tidak mempunyai 'legal standing'.

"Ini cuma gimik politik nak gambarkan kalau Bajet Perdana Menteri adalah A, Bajet dia A++, one upmanship sebagai satu tarikan politik bahawa Pakatan Rakyat akan menawarkan jauh lebih baik daripada Barisan Nasional sudah buat dalam Bajet.

"Tapi rakyat mesti faham, mereka boleh buat berbagai-bagai, tetapi terbukti macam contoh di Selangor, mereka dah tawarkan macam-macam tapi tak terlaksana.

"Kalau mereka nak buat affordable housing, patut di Selangor banyak rumah dibina atau di Pulau Pinang tetapi tidak dibuat pun," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment