My Add

Sunday 2 September 2012

APEC diharap capai konsensus senarai barangan hijau

VLADIVOSTOK (Russia), AHAD, 02 September, 2012:: Tidak mudah untuk mendapatkan persetujuan kesemua 21 anggota Apec berhubung senarai kira-kira 100 produk alam sekitar yang dicadangkan mendapat layanan tarif pilihan, namun Malaysia berharap konsensus mengenainya dapat dicapai pada Sidang Kemuncak Apec 2012 yang sedang berlangsung di sini.

Persetujuan ke atas senarai itu, pertama untuk barangan hijau (mesra alam) dalam kalangan negara berdagang adalah kejayaan besar memandangkan ia bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi Apec, malah membuka pintu dagangan ke negara lain menerusi hubungan pelbagai hala, kata Pengarah Kanan Bahagian Apec, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk N. Vasudevan.

Penyenaraian barangan terbabit di peringkat awal juga tidaklah mudah memandangkan terdapat lebih daripada 300 produk yang dicadangkan oleh negara anggota, namun berjaya dikurangkan pada mesyurat-mesyuarat Apec sebelum ini dan akhirnya angka itu kini kurang daripada 100, katanya kepada Bernama ketika ditemui pada mesyuarat Apec.

Senarai ini akan membuka ruang untuk pembukaan lebih banyak pasaran untuk barangan terbabit dan tarif akan ditambat pada lima peratus menjelang 2015, kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Apec, Aida Safinaz Alias.

Cabaran akan terus dihadapi oleh negara anggota Apec memandangkan ia bukan perjanjian yang terikat tetapi berasaskan dasar komitmen sukarela Apec, namun penyediaan senarai berkenaan merupakan sumbangan utama dalam menggalakkan pembangunan lestari dan pengeluaran barangan mesra alam yang baik untuk alam sekitar dalam jangka masa panjang, kata Vasudevan.

Banyak sumber digunakan dalam proses penyenaraian ini dan perbincangan mengenai butiran teknikal dan kewajaran penyenaraian barangan terbabit akan diteruskan, dan secara umumnya semua pihak perlu diyakinkan bahawa ia memberi manfaat kepada alam sekitar, katanya.

Sementara itu, pemimpin Apec 2012 bermula hari ini dengan memuktamadkan sesi pleno Mesyuarat Pegawai Kanan dengan perbincangan dijangka memberi tumpuan terhadap empat bidang keutamaan - mengukuhkan jaminan makanan, meningkat perdagangan dan meliberalisasikan pelaburan, penyepaduan ekonomi serantau dan mewujudkan rangkaian bekalan yang boleh dipercayai serta mengukuhkan pertumbuhan inovatif.

No comments:

Post a Comment