My Add

Saturday 8 September 2012

Muhammad Ziyah raih gangsa lontar peluru Paralimpik London

LONDON, SABTU, 08 September, 2012: Atlit elit olahraga negara, Muhamad Ziyad Zolkefli meraih pingat gangsa dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembalajaran) pada temasya Sukan Paralimpik London di sini, hari ini.

Muhamad Ziyad, 22, menghasilkan pingat kedua Malaysia pada temasya edisi ke-14 dengan lontaran sejauh 15.21 meter.

Sebelum ini, pemanah elit negara Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama negara itu pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2 pada Isnin lalu.

Pingat emas acara itu dimenangi Todd Hodgetts dari Australia dengan jarak 16.29m dan perak menjadi milik Jeffrey Ige dari Sweden dengan jarak 15.50m.

Ketiga-tiga atlit melepasi rekod berusia 12 tahun milik Krzysztof Kaczmarek dari Poland iaitu 13.10 meter pada edisi di Sydney, Australia, pada 2000.

"Saya memang bersyukur sangat kerana saya dapat menang pingat di Sukan Paralimpik ini. Saya memang sasarkan untuk menang pingat.

"Pingat ini adalah untuk kedua ibu bapa saya dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong kami di sini," kata Muhammad Ziyad, yang kali pertama mewakili negara di temasya Sukan Paralimpik.

Menurut atlit berasal dari Gombak, Selangor itu, beliau sedikitpun tidak merasa tekanan walaupun lontaran ketiga beliau telah dibatalkan.

"Ia memang kesilapan saya tetapi sedikitpun tidak jejas tumpuan saya untuk berikan yang terbaik. Saya telah beri sepenuh komitmen saya semasa di gelanggang," katanya.

Lontaran pingat gangsa Muhammad Ziyad dicatat pada percubaan keduanya selepas percubaan pertama menyamai pencapaian terbaik peribadinya, 13.79m. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment