My Add

Tuesday, 18 September 2012

Pendapatan suku kedua KWSP naik 13.42 peratus

KUALA LUMPUR, SELASA, 18 September, 2012: Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) naik 13.42 peratus kepada RM7.66 bilion bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2012, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ia berkata ekuiti kekal menjadi penyumbang terbesar, mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM3.84 bilion bagi suku tersebut, naik sebanyak 17.40 peratus berbanding RM3.27 bilion pada Suku-2 tahun lepas.

"Pinjaman dan Bon menjana pendapatan pelaburan RM2.06 bilion pada Suku-2 2012, meningkat RM272.32 juta daripada RM1.79 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

"Pada suku yang sama, KWSP juga memperuntukkan RM1.5 bilion kepada pengurus dana luaran bagi mandat ekuiti domestik dan RM600 juta untuk mandat pendapatan tetap domestik," kata KWSP dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Azlan Zainol berkata pendapatan kukuh yang dicatatkan pada Suku-2 tahun ini disokong oleh prestasi baik pelaburan KWSP dalam ekuiti walaupun keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Penyumberan luar bagi mandat baru ini selaras dengan strategi pempelbagaian pelaburan yang diamalkan KWSP dan merupakan sebahagian daripada sumbangan KWSP untuk memacu pembangunan industri pengurusan dana tempatan," kata Azlan.

Setakat 30 Jun 2012, aset pelaburan KWSP ialah sebanyak RM494.75 bilion, peningkatan RM32.53 bilion daripada RM462.22 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah caruman yang diterima pada suku tersebut berjumlah RM12.42 bilion berbanding RM8.96 bilion daripada jumlah pengeluaran, menjadikan aliran dana masuk bersih sebanyak RM3.46 bilion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment