My Add

Monday 17 September 2012


Rakyat Malaysia di Bucharest sambut Hari Malaysia penuh bermakna


BUCHAREST, ISNIN. 17 September, 2012: Kira-kira 60 orang rakyat Malaysia yang tinggal di bandar raya ini mengadakan sambutan penuh bermakna ulangtahun ke 49 Hari Malaysia di sini semalam.

Duta Besar Malaysia ke Romania, Datuk Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad menjadi tuan rumah manakala Menteri Industri Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, yang sedang melakukan lawatan promosi minyak sawit selama lapan hari, menjadi tetamu kehormat di majlis itu. 

Rombongan Malaysia itu disertai Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor, ketua pegawai eksekutifnya, Tan Sri Dr Yusof Basiron dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Choo Yuen May.

Antara mereka yang hadir di majlis itu ialah wakil-wakil diplomatik, ahli perniagaan Malaysia yang berada di bandar raya ini dan pelajar Malaysia.

Dompok berkata, Hari Malaysia adalah satu hari yang bermakna terutama sekali bagi masyarakat di Sabah dan Sarawak kerana kerajaan sedang berusaha mencapai kedudukan sebuah negara maju menjelang 2020.

"Melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Malaysia akan mencapai matlamatnya pada 2020," katanya ketika berucap pada perayaan tersebut.

Dompok berkata, Malaysia mempunyai banyak peluang untuk ditawarkan terutama sekali barangan komoditi kepada negara-negara di Eropah timur.
Beliau berharap lawatan promosi itu akan meningkatkan lagi hubungan perniagaan yang dapat memacu negara mara ke depan.

Seorang pakar geogologi Malaysia, Francis Ho, 39 dari Sibu, Sarawak, yang ditemui di majlis itu, berkata beliau berbangga kerana dapat hadir di perayaan tersebut.

"Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya merasa bangga Hari Malaysia disambut setiap tahun dan ini menggambarkan betapa penting dan bermaknanya hari tersebut," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment