My Add

Wednesday 26 September 2012

Terengganu tubuh pasukan hoki hadapi saingan liga musim depan

 KUALA TERENGGANU, RABU, 26 September, 2012: Terengganu akan menubuhkan sebuah pasukan hoki negeri dibarisi pemain muda bagi persiapan menyertai Liga Hoki Kebangsaan, mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, skuad hoki tersebut akan dikendalikan Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) dengan memperoleh dana daripada kerajaan negeri. 

"Kita akan kumpul pemain-pemain hoki Terengganu mulai sekarang untuk menyertai Liga Hoki Kebangsaan tahun depan. Bagi mencapai hasrat ini, kita akan mula daftarkan pasukan tahun ini juga," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, sudah tiba masanya Terengganu mempunyai pasukan hoki sendiri memandangkan ia mempunyai ramai pemain berbakat yang berjaya mencipta nama dalam kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, PHNT bertanggungjawab mengatur segala persiapan skuad hoki tersebut termasuk aspek mengumpulkan pemain berbakat dan mencari jurulatih berkaliber.

Kewibawaan PHNT terserlah, apabila berjaya melahirkan beberapa pemain hoki berkaliber seperti Mohamad Sharul Nabil Abdullah dan Faizal Shaari yang mewakili negara.

Malah, kedua-dua pemain berbakat itu turut mengikat kontrak masing-masing dengan pasukan kelab Maybank dan Tenaga Nasional Bhd. 

Ahmad berkata, kerajaan negeri turut berbangga apabila empat anak jati negeri ini dipilih mewakili negara dalam Kejohanan Hoki Remaja Piala Asia ke-7, di Stadium Bukit Serindit Melaka, Mei lepas yang menyaksikan Malaysia merangkul gelaran juara.

Empat pemain tersebut ialah Mohd Nor Faez Ahmad Sobri, Mohd Firham Ashaari dan pasangan adik beradik Fitri dan Faizal Shaari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment