My Add

Wednesday 3 October 2012

14,700 jemaah Malaysia sudah berada di Tanah Suci

 MAKKAH, RABU, 03 Oktober, 2012: Sebanyak 14,700 jemaah haji Malaysia atau kira-kira 53 peratus daripada 28,000 orang jemaah tahun ini sudah berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat umrah dan haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pada masa ini, 6,500 jemaah berada di Madinah dan selebihnya sudah mula menunaikan umrah di Makkah. 

"Sehingga kini 42 penerbangan berlepas dari Malaysia dan tinggal 35 penerbangan lagi. Sejak 30 Sept, semua penerbangan akan mendarat di Jeddah dan penerbangan ke Madinah dihentikan...mereka akan berihram dari Jeddah dan akan terus ke Makkah menaiki bas," katanya kepada pemberita Malaysia di ibu pejabat Tabung Haji di sini.

Katanya, setiap hari kira-kira 1,000 jemaah haji Malaysia akan memasuki Makkah dari Madinah dan mereka akan ditempatkan di 13 buah hotel yang disewa sekitar Masjidil Haram.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana tiada masalah timbul setakat ini walaupun terdapat khabar angin adanya wabak penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) di Tanah Suci.

"Tabung Haji buat perjumpaan dengan Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan dimaklumkan tidak perlu risau dengan mana-mana wabak sakit kerana sehingga ini tidak ada satu kes yang menyerang jemaah haji dari mana-mana negara," katanya.

Jumlah kes kesihatan yang dirujuk kepada klinik dan hospital Tabung Haji di Tanah Suci juga amat kecil berbanding tahun sebelumnya meliputi masalah biasa seperti selsema, batuk dan sakit kulit akibat cuaca kering, katanya. 

"Nasihat saya untuk bakal-bakal haji supaya bersiap sedia dari segi mental, fizikal, kerohanian dan ilmu kerana kemungkinan untuk mereka berhadapan dengan tekanan emosi itu ada, kemurungan...keadaan fizikal juga penting kerana banyak tenaga diperlukan untuk berjalan jauh," katanya.

Katanya, ilmu juga penting untuk membolehkan jemaah melaksanakan ibadah dengan sempurna. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment