My Add

Wednesday 3 October 2012

Peraturan larang pelajar bawa, guna telefon bimbit di sekolah masih kekal

 KUALA LUMPUR, RABU, 03 Oktober, 2012: Kementerian Pelajaran (KPM) masih mengekalkan peraturan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh pelajar sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu sesi perbincangan meja bulat diadakan pada 25 Ogos lepas melibatkan pihak berkepentingan antaranya pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan komunikasi oleh pelajar sekolah. 

"KPM sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa dan murid-murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) di Parlimen di sini hari ini.

Liang ingin tahu perkembangan terkini mengenai hasrat kementerian itu membenarkan pelajar sekolah membawa telefon bimbit dan alat-alat elektronik ke sekolah serta kesan sampingan sekiranya dasar ini dilaksanakan.

Muhyiddin berkata, kementerian sudah menjalankan kajian dalam kalangan pelajar serta guru sekolah bagi mendapatkan pandangan mengenai penggunaan peralatan komunikasi di sekolah.

Katanya, kajian melibatkan 274 responden itu dijalankan di sembilan sekolah di daerah Seremban dan Port Dickson.

Pada Julai lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun depan. 

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah terbabit akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment