My Add

Friday 19 October 2012

161 kes lori lebih muatan didakwa sehingga September: SPAD

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Oktober, 2012:: Sebanyak 161 kes membabitkan kesalahan lori lebih muatan didakwa antara Januari dan September lalu, demikian menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan SPAD hari ini, daripada 161 kes yang didakwa itu, sebanyak 12 kes dilepaskan tanpa dibebaskan manakala 10 kes dikeluarkan waran tangkap dan selebihnya disaman. 

Lebih 70 peratus kes yang didakwa adalah berhubung membawa lebih 50 peratus muatan yang dibenarkan.

Menurut SPAD, kes muatan paling tinggi sehingga kini adalah 138 peratus melebihi muatan.

Bagi mengatasi masalah kerosakan jalan raya dan kemalangan yang berpunca daripada lori lebih muatan, satu pekeliling berhubung muatan lori yang dibenarkan dibawa di atas jalan raya akan berkuat kuasa mulai 25 September ini.

Ketua Pengawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Kamal dalam kenyataan itu berkata, pekeliling itu dikeluarkan bagi mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya yang lain bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan lori lebih muatan.

Beliau berkata, barangan lori lebih muatan terutamanya batu boleh membahayakan pengguna jalan raya. 

"Walaupun ada pengendali lori yang menggunakan papan pengadang untuk mengelakkan kejatuhan barangan dari lori, terdapat juga pengendali yang menyalahgunakan pengadang bagi mengangkut lebih banyak barangan," katanya.

Pekeliling SPAD Bil.8 Tahun 2012 mengenai 'Syarat-syarat lesen pengendali kenderaan barangan berkenaan spesifikasi kenderaan, jenis barangan dan keadaan barangan yang dibawa' itu adalah hasil perbincangan SPAD bersama Jabatan Pengangkutan Jalan dan persatuan pengendali lori.

Bagi sebarang pertanyaan, pengendali lori dan orang awam boleh menghubungi talian hotline SPAD 1800-88-7723 atau Bahagian Pengangkutan Awam Lori SPAD di talian 03-2726-7000 pada waktu pejabat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment