My Add

Friday 19 October 2012

10,000 rumah nelayan dibina dan dibaiki di seluruh negara

BESUT, JUMAAT, 19 Oktober, 2012: Kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang membina dan membaiki kira-kira 10,000 buah rumah nelayan di seluruh negara membabitkan kos sebanyak RM100 juta.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohad Khazin Hamzah, berkata perbelanjaan daripada peruntukkan Bajet 2012 itu meliputi sebahagian daripada peruntukkan yang diluluskan bagi menaik taraf golongan nelayan.

"Sebanyak RM200 juta baki peruntukan itu akan digunakan untuk tujuan sama pada tahun ini dan awal tahun depan bagi memastikan lebih ramai nelayan yang tidak berkemampuan dapat menikmati kemudahan itu.

"LKIM juga akan menawarkan kemudahan berkenaan kepada nelayan sungai di seluruh negara yang memerlukan rumah atau untuk membaiki rumah mereka yang usang dengan memohon kepada LKIM, melalui persatuan nelayan kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembayaran elaun sara hidup secara tunai kepada 617 nelayan daerah Besut di Kompleks Rakan Muda Kampung Raja di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jerteh, Baharom Said. Turut hadir Pengarah LKIM Terengganu Shafie Mohamad.

Mohad berkata, elaun sara hidup sebanyak RM200 yang sebelum ini dimasukkan setiap bulan ke dalam akaun bank nelayan, akan dibayar secara tunai mulai Oktober hingga Disember depan. 

“Pembayaran secara tunai membabitkan peruntukkan RM12 juta kepada seramai 60,000 nelayan di seluruh negara itu akan dilakukan LKIM,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment