My Add

Friday 19 October 2012

20 IPTS tidak diluluskan penubuhan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Oktober, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi menolak sebanyak 20 daripada 46 permohonan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf kolej pada 2011 kerana tidak melepasi syarat-syarat ditetapkan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penubuhan sesebuah IPTS tidak boleh dibuat sewenang- wenangnya dan hanya institusi yang layak sahaja akan diluluskan permohonan penubuhannya.

"Sehingga 31 Ogos 2012, terdapat 506 IPTS yang berdaftar dengan kementerian merangkumi 34 IPTS bertaraf Universiti, 21 bertaraf Kolej Universiti, enam bertaraf Kampus Cawangan Universiti Luar Negara dan 413 bertaraf Kolej masih aktif," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Sapawi Ahmad (BN-Sipitang) yang bertanyakan langkah Kementerian Pengajian Tinggi dalam mengawal lambakan penubuhan IPTS dan usaha bagi memastikan IPTS mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurut Saifuddin, kementeriannya sentiasa melaksanakan pemantauan dengan sasaran sebanyak 150 IPTS dilawati setiap tahun di bawah Ops Matang selain penyeliaan berkala menerusi operasi tertentu termasuk Ops Antarabangsa, Ops Kejururawatan, Ops Klinikal dan Ops Kelayakan Masuk.

"Di bawah Ops Weeding Out, kementerian melaksanakan penguatkuasaan terhadap IPTS yang tidak berdaya maju dengan tahun 2010 sahaja, sebanyak 27 buah IPTS telah dibatalkan kelulusan penubuhan dan 15 lagi dibatalkan pendaftaran.

"Pada 2011, dua buah IPTS telah dibatalkan kelulusan penubuhan dan dua buah IPTS dibatalkan pendaftaran," katanya.

Jelas beliau, masyarakat tidak sewajarnya mempunyai persepsi negatif terhadap IPTS kerana berdasarkan Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) 2009, 11 daripada 18 institusi pengajian tinggi (IPT) yang mendapat tahap cemerlang Tier 5 adalah swasta manakala bakinya awam.

"Daripada 11 IPTS ini, lima daripadanya adalah IPTS tempatan dan mereka benar-benar serius untuk meningkatkan kualiti penganjuran pengajian tinggi di negara ini walaupun dari sektor swasta," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment