My Add

Saturday 27 October 2012

25 peratus rakyat Islam Amerika Syarikat belum buat keputusan

WASHINGTON, JUMAAT, 26 Oktober, 2012: Kira-kira 25 peratus rakyat Amerika Syarikat beragama Islam yang telah mendaftar sebagai pengundi masih belum membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan Barack Obama sebagai presiden bagi penggal kedua atau memilih calon Republikan, Mitt Romney.

Menurut kaji selidik sebuah firma yang dilantik oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) berpusat di sini kelmarin, kira-kira 91 peratus pengundi berdaftar beragama Islam akan mengundi pada 6 November ini.

Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad berkata, keputusan kaji selidik itu memberi petunjuk terdapat peratusan besar pengundi Islam Amerika yang masih terbuka dalam membuat keputusan calon presiden.

''Keputusan ini juga menunjukkan pengundi Islam Amerika berpotensi berada dalam kedudukan untuk menentukan pemenang dalam pilihan raya kali ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Kaji selidik rambang terhadap 500 pengundi berdaftar Islam dilakukan pada dua minggu pertama bulan ini. CAIR merupakan kumpulan yang menyelia hal-ehwal komuniti Islam di Amerika Syarikat.

Menurut kaji selidik itu lagi, sebanyak 68 peratus responden menyatakan mereka akan memilih semula Presiden Obama manakala hanya tujuh peratus memilih Romney.

Walaupun hanya terdapat 7 juta penduduk Islam di AS, pembabitan mereka dalam menentukan hala tuju politik negara kuasa dunia ini diakui ekoran bilangan mereka yang ramai di negeri-negeri yang diistilah sebagai 'swing state' iaitu Michigan, Ohio, Virginia, Pennsylvania dan Florida.

Pengundi Islam Amerika yang majoritinya menyokong Republikan telah mengalihkan undi mereka untuk menyokong Obama pada pilihan raya tahun 2008.

Perubahan besar tersebut ekoran tindakan pihak berkuasa di zaman Presiden George W. Bush memasang alat perisikan, gangguan hak asasi, memprofilkan agama, etnik dan keturunan.

Mengulas mengenai isu ini, pengarang The Washington Post, Glenn Kessler berkata, bilangan penduduk Islam dengan Yahudi tidak jauh berbeza tetapi ketara kaum Yahudi seakan memiliki pengaruh yang lebih.

''Kaum Yahudi lebih teratur dan tersusun. Misalnya AIPAC iaitu Jawatankuasa Hal-Ehwal Awam Amerika-Israel menggembleng tokoh-tokoh dalam masyarakat Yahudi bagi membentuk badan melobi yang kuat.

''Berbeza dengan orang Islam Amerika. Dalam komuniti Islam itu sendiri ada perbezaan menyebabkan mereka gagal bersatu dan menjadi kuat seperti Yahudi," katanya semasa sesi taklimat di Pusat Media Asing (FPC) di sini semalam.

Secara umumnya ujar beliau, undi daripada masyarakat minoriti yang diraih Obama pada 2008 ialah pertama, datang dari kaum Afrika-Amerika dan kedua, masyarakat Yahudi sebelum disusuli masyarakat lain seperti Islam, Latin dan sebagainya.

Beliau berkata, Obama tidak mempunyai masalah hubungan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetapi pergeseran mereka adalah disebabkan individu yang memiliki pengalaman kesukaran berunding dengan Netanyahu.

''Individu seperti Rahm Emanuel dan Hillary Clinton bersama Obama tampil dengan idea hebat dalam menyelesaikan sengketa Israel-Palestin tetapi lemah daripada segi pelaksanaan,' kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment