SHAH ALAM, SELASA, 02 Oktober, 2012: Polis menahan empat lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang ahli perniagaan yang ditemui mati dalam keadaan terbaring di sisi sebuah kereta mewah di tepi jalan di Batu 5 1/2, Bangi, 9 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 22 tahun dan berasal dari Johor ditahan di beberapa lokasi berasingan Khamis lalu.
Keempat-empat suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor, di sini hari ini.
Pada 9 September lalu, Wong Sing Keong, 42, dari Batu 9, Cheras ditemui mati dengan kesan lebam di muka dan mata sebelah kanan, serta terdapat kesan hentakan pada kepala oleh orang awam.
Sebelum ini, sepasang suami isteri ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan itu dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagaimanapun isterinya telah dibebaskan dengan ikat jamin polis, katanya.
Mengenai kes pembunuhan peniaga Leong Kian Sheong, 37, dan wanita kenalannya Vivien Wong, 20, di Taman Segar Perdana, Cheras pada 13 September lalu, Mohd Adnan berkata lima suspek berumur antara 27 dan 58 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata mereka ditangkap antara 19 Septmber hingga 28 September di beberapa lokasi berasingan, iaitu di Kangar, Perlis; Sungai Buloh, Selangor; Taman Sentosa dan Segamat, Johor.
No comments:
Post a Comment