My Add

Tuesday 2 October 2012

Fasa kedua NKRA: Tumpu persepsi keselamatan

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Oktober, 2012:: Fasa Kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah pada tahun depan akan memberi tumpuan kepada persepsi orang ramai terhadap keselamatan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, berbanding fasa pertama yang lebih menumpukan kepada statistik, indeks dan sasaran jenayah tertentu, fasa kedua akan menekankan tentang suasana persekitaran dan persepsi masyarakat terhadap keselamatan di sekeliling mereka.
"Isunya sekarang bukan lagi dari segi indeks jenayah jalanan. Tapi ia lebih kepada persepsi, perasaan dan realiti. Ia berubah mengikut tuntutan semasa.

"Kita harap dengan perubahan ini, rasa bimbang tentang keselamatan orang ramai dapat dikurangkan.

"Ini semua akan kita bincang dan umumkan dalam fasa kedua NKRA jenayah tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas menutup mesyuarat khas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dan timbalannya, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pesuruhjaya polis, ketua-ketua polis negeri dan komander di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dekat sini hari ini.

Hishammuddin berkata pelaksanaan fasa kedua NKRA Program Transformasi Kerajaan (GTP) mengurangkan jenayah itu sejajar dengan peruntukan yang diberikan kerajaan dalam Belanjawan 2013, Jumaat lalu.

"Kita akan gunakan sebaik-baiknya peruntukan yang ada termasuk mengerahkan anggota-anggota kita melakukan lebih banyak 'omnipresence' bagi memberi gambaran kepada masyarakat bahawa PDRM komited memerangi jenayah," katanya. 

Semasa membentangkan Belanjawan 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan RM20 juta bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang akan ditubuhkan untuk memantau kawasan perumahan.

Selain itu, sejumlah RM70 juta diperuntukkan untuk menambah bilangan anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) dan 10,000 orang bagi membantu polis membanteras jenayah.

Peruntukan kepada PDRM itu juga meliputi penambahan 496 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.

Sementara itu, Ismail berkata cabaran utama PDRM ketika ini, terutama dalam memasuki fasa kedua NKRA, adalah meningkatkan persepsi masyarakat terhadap usaha yang dilakukan PDRM membendung jenayah di persekitaran mereka.

"Kita harap dengan 1,000 buah motosikal untuk tujuan rondaan di kawasan perumahan akan dapat dimanfaatkan terutamanya dalam membuat rondaan di kawasan-kawasan panas, yang selalu menjadi rungutan orang ramai, khususnya di Lembah Klang.

"Kita akan mengarahkan anggota-anggota kita membuat rondaan secara berpasangan bagi membendung jenayah sekaligus meningkatkan persepsi positif di kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata Pengarah Logistik PDRM juga diarah berjumpa dengan pihak KDN dalam masa terdekat agar dapat mempercepat proses perolehan unit rondaan bermotosikal berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment