My Add

Wednesday 3 October 2012

700,000 pekebun dapat manfaat

Oleh amran mulup
MELAKA, SELASA, 02 OktOBER, 2012: Kira-kira 700,000 pekebun kecil di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada peruntukan sebanyak RM2.9 bilion menerusi Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, peruntukan tersebut adalah bagi memperkasakan lagi pekebun kecil dan usahawan komoditi utama negara merangkumi sawit, getah, koko, lada, kenaf dan kayu.

Menurutnya, pada 2011, industri itu menyumbang sebanyak RM141.2 bilion kepada pendapatan eksport negara dan diharapkan dengan adanya peruntukan tersebut, sumbangan sektor ini akan berterusan.

Beliau berkata, nilai tersebut merupakan 20 peratus daripada keseluruhan eksport negara berjumlah RM695 bilion dan lebih tinggi daripada petroleum dan gas.

''Peruntukan RM2.9 bilion adalah bukti kerajaan prihatin membantu pekebun kecil dan usahawan, sekali gus memastikan sumbangan industri tersebut berterusan kepada pertumbuhan ekonomi negara di masa hadapan.

''Ini juga menunjukkan kerajaan komited memodenkan industri berkenaan bagi meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa, di samping menggalakkan pelaburan di sektor perkilangan berasaskan komoditi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pekebun Kecil dan Usahawan Komoditi Kebangsaan 2012 yang dihadiri 1,000 peserta di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Hamzah.

Pada majlis tersebut turut diadakan penyampaian anugerah Pekebun Kecil dan Usahawan Komoditi Kebangsaan 2012 kepada enam penerima.

Mereka ialah Mohd. Janis Abu Bakar, 55, bagi sektor sawit; Bujang Ajis, 51, (getah), Manja Nyaling, 44, (koko); Jepun Lamit, 51, (lada); Siti Naterah Awang, 59, (kenaf) dan Karaz Synergy Sdn. Bhd. (usahawan komoditi).

Mengulas lanjut, Dompok berkata, daripada peruntukan RM2.9 bilon itu, RM432 juta adalah bagi penanaman baru dan semula komoditi sawit.

Menurutnya, kementerian menyasarkan kawasan seluas 42,500 hektar iaitu 45 peratus melibatkan penanaman baru manakala 55 peratus lagi tanam semula di seluruh negara.

Beliau menambah, usaha kerajaan untuk memajukan sektor peladangan tidak hanya tertumpu kepada industri sawit dan getah semata-mata, sebaliknya komoditi lain seperti kayu-kayan, koko, lada dan kenaf yang berpotensi untuk dimajukan.

Ujarnya, kerajaan amat serius dan prihatin untuk memajukan industri perladangan dan komoditi serta terus membantu pekebun kecil dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.

''Yang penting, pekebun kecil juga perlu memainkan peranan masing-masing untuk meningkatkan daya saing terutamanya dari segi produktiviti dan jati diri serta tidak terlalu bergantung kepada bantuan disediakan kerajaan," katanya. -  UTUSAN

 

No comments:

Post a Comment