My Add

Wednesday 3 October 2012

Litar pintas punca kebakaran feri di Labuan - Polis

LABUAN, SELASA, 02 Oktober, 2012: Siasatan awal mendapati kebakaran yang memusnahkan sebahagian feri Wawasan Perdana hari ini berpunca daripada litar pintas.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata litar pintas itu membabitkan pemanas air di kantin yang terletak di dek penumpang.

Kebakaran dikesan oleh seorang petugas yang hendak menghidupkan enjin feri tersebut yang kemudian melaporkannya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Feri Labuan (LFC) Samsul Sahari memberitahu Bernama, kebakaran yang berlaku pukul 6 pagi itu memusnahkan navigasi dan dek penumpang di aras dua feri, manakala enjinnnya tidak terjejas.

Dibina pada 1997, feri itu berkemampuan menampung sehingga 1,000 penumpang, 80 kereta dan 24 lori bagi setiap perjalanan. Feri yang dibeli dari Korea Selatan itu mula beroperasi sejak Ogos 2004 bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan.

Samsul berkata LFC akan menyegerakan kerja membaik pulih feri keduanya Warisan Perdana bagi menampung keperluan susulan kejadian ke atas Wawasan Perdana.

Susulan kejadian itu juga, penumpang dari tanah besar kini terpaksa bergantung kepada perkhidmatan feri Kimanis yang dikendali oleh Juta Bonus Sdn Bhd. Perkhidmatan feri itu beroperasi beberapa hari sebelum Aidilfitri yang lalu.

Sejak bertahun-tahun, penduduk bergantung kepada perkhidmatan feri untuk mengangkut barangan dari tanah besar Sabah ke Labuan.

Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal meluahkan harapan agar LFC mempercepatkan proses membaik pulih feri berkenaan.

"Kita semua tahu akan pentingnya perkhidmatan feri, tetapi tiada apa yang dapat kita lakukan kecuali membiarkan LFC menyelesaikannya," katanya sambil menasihati masyarakat agar bersabar dengan situasi itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment