My Add

Wednesday 17 October 2012

ACD iktiraf kejayaan AeU - Muhyiddin

*MUHYIDDIN Yassin disambut oleh Duta Kuwait ke Malaysia, Naser Bareh Shahir El Enezi ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, malam tadi. Turut kelihatan, Noorainee Abdul Rahman dan Duta Malaysia ke Kuwait, Datuk Adnan Othman. - BERNAMA
Oleh Herman Hamid
KUWAIT, SELASA, 16 Oktober, 2012: Penubuhan Asia e-University (AeU) di Kuala Lumpur hasil usaha Malaysia sebagai penggerak utama dalam bidang e-pendidikan untuk Dialog Kerjasama Asia (ACD) diiktiraf sebagai salah satu daripada inisiatif yang berjaya di bawah kerjasama tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah AeU yang ditubuhkan pada 2007 mempunyai rangkaian kerjasama bukan sahaja dengan negara Asia tetapi juga rantau lain kerana ia melibatkan penawaran pelbagai skop kursus.

‘‘Perkembangannya cukup baik dan yang penting pemindahan kredit dari universiti negara lain diambil kira dan demikian juga dalam soal pengiktirafan negara anggota kepada universiti ini.

‘‘Malaysia akan terus membuat pembaikan kepada projek e-pendidikan di bawah ACD. Bidang-bidang pelajaran di bawah AeU akan ditambah dan kerjasama dengan pihak-pihak tertentu di negara ACD akan dipertingkatkan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ACD Pertama oleh Amir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah di Dewan Persidangan Tahrir, Kompleks Istana Bayan di bandar raya ini, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang tiba malam tadi bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman akan berada di negara ini selama tiga hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak berkenaan yang akan berakhir esok.

AeU yang berpusat di Kuala Lumpur mempunyai 2,100 penuntut antarabangsa melibatkan 20 negara dengan matlamat utamanya untuk membolehkan lebih ramai penduduk di Asia mendapat akses kepada pengajian tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, Sidang Kemuncak itu yang melibatkan 32 negara anggota diharap dapat mencetuskan bentuk-bentuk kerjasama baru bagi menghadapi cabaran global pelbagai sama ada krisis ekonomi yang melanda zon Eropah dan kesannya kepada negara Asia, perubahan iklim, keselamatan makanan, ekonomi dan lain-lain.

‘‘Diharapkan hasil daripada ACD ini ialah persefahaman yang lebih baik, kerjasama lebih rapat dan lebih usaha bermanfaat untuk penduduk di seluruh Asia. Oleh kerana negara anggota mempunyai pelbagai latar belakang ekonomi, dialog ini dianggap penting untuk merumuskan beberapa inisiatif untuk membantu negara anggota termasuk menerusi inisiatif swasta," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment